AM

Pelancongan domestik jadi pilihan rakyat - Tourism Malaysia

02/12/2021 06:15 PM

GEORGE TOWN, 2 Dis -- Pelancongan domestik tetap menjadi pilihan rakyat ketika ini malah beberapa lokasi pelancongan menerima sambutan menggalakkan, kata Pengarah Kanan Bahagian Promosi Domestik Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusof.

Beliau berkata sehubungan itu, semua pihak perlu bergabung tenaga bagi memperkenalkan produk pelancongan baharu dalam menyedikan pelbagai pilihan kepada rakyat untuk bercuti dalam negara.

"Permintaan untuk pelancongan domestik semakin meningkat selepas rentas negeri dibenarkan namun orang ramai dan pemain industri pelancongan perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan terkini oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Berdasarkan pemerhatian, didapati orang ramai memilih untuk meneroka lokasi pelancongan yang kurang sesak dan selamat untuk keluarga masing-masing malah mereka yang sebelum ini bercuti di luar negara  juga memilih untuk melancong di sini (dalam negara), jadi kami giat melakukan promosi supaya dapat memberi banyak pilihan kepada rakyat untuk bercuti dalam negara sendiri," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program 'My Destination Sabah and Labuan to Penang', di di sini hari ini yang bertujuan merangsang semula sektor pelancongan domestik di Sabah, Labuan serta Pulau Pinang.

Iskandar Mirza berkata pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia seperti pakej penjawat awam dan pesara kerajaan turut mendapat sambutan menggalakkan dengan mencatat jualan lebih RM500,000 setakat November tahun ini.

“Kali ini Tourism Malaysia melancarkan (promosi) untuk Sabah, Labuan dan Pulau Pinang kerana pelancongan domestik di Sabah pada tahun lepas mencatatkan trend penurunan dari segi jumlah dan nilai yang didorong oleh penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Beliau berkata jumlah ketibaan pelancong domestik ke Sabah menurun sebanyak 53.1 peratus dengan kehadiran jumlah pelancong 10.3 juta orang manakala hasil pendapatan RM2.7 bilion berbanding 2019 yang mencatatkan seramai 22 juta pelancong dengan pendapatan RM8.1 bilion.

Menurutnya, 26 penggiat industri pelancongan dari Sabah dan Labuan terdiri daripada 23 agensi pelancongan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), AirAsia, dan Palm Beach Resort and Spa telah menyertai program ‘My Destination Sabah and Labuan to Penang’.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan