KUALA LUMPUR, 2 Dis -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan berbincang dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi meneliti pro dan kontra penutupan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) cawangan Semporna.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Majlis MARA telah mencadangkan agar KPTM itu ditutup pada Julai 2022 susulan hasil kerugian terkumpul sebanyak RM28.5 juta sejak institusi itu mula beroperasi.
“Saya bersama pasukan di KPLB sedang berbincang dan akan memanggil pihak MARA sendiri untuk melihat pro and kontra, apakah baik dan buruk apabila ditutup (KPTM) ini.
“Saya sedar pelajarnya (di KPTM cawangan Semporna) sedikit, kapasitinya 600, jadi kami di peringkat kementerian hendak ambil jalan terbaik, sebab kita tahu dan sedar kalau ditutup tidak mendatangkan kebaikan, kalau diteruskan juga bagaimana kalau cara nak diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 30 Sept, Mahdzir dilaporkan berkata KPTM cawangan Semporna itu akan ditutup mulai tahun depan, berpunca daripada kekurangan kemasukan pelajar yang berterusan.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM3,520,264,300 pada peringkat jawatankuasa kepada KPLB dalam Bajet 2022 dengan lebih suara menyokong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial