KUALA LUMPUR, 2 Dis -- Pameran Produktiviti dan Inovasi Tahunan (ArISe) yang bertujuan mempamerkan penambahbaikan produktiviti dan kualiti melalui pembudayaan kreativiti dan inovasi mencatatkan penjimatan kos RM490 juta menerusi 220 projek sektor awam dan swasta di seluruh negara pada tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong berkata projek penambahbaikan produktiviti dan inovasi terbukti dapat memberikan impak dan perubahan besar kepada sesebuah organisasi.
“Matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dapat dicapai melalui aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta menambah baik proses pengeluaran dan operasi.
“Konvensyen ArISe berupaya memperkukuhkan kolaborasi dan mendapat sokongan daripada sektor awam dan swasta bagi mencapai matlamat ini,” katanya dalam ucapan penutup Konvensyen ArISe 2021 secara maya hari ini.
Seramai 1,500 peserta dari 116 organisasi telah menyertai konvensyen ArISe 2021 yang berlangsung pada 15 hingga 18 November lepas.
Ia dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang bernaung dibawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Beliau berkata dalam mempersiapkan negara ke arah Revolusi Industri 4.0, agenda MyDIGITAL menjadi antara tunjang penting bagi menggalakkan industri untuk mencipta dan mengadaptasi hasil inovasi dalam model perniagaan masing-masing.
Menurutnya, laporan World Competitiveness Yearbook 2021 mendapati kedudukan Malaysia telah meningkat di tangga ke-28 berbanding ke-30 pada 2020 bagi indikator Kemahiran Digital atau Teknologi Sedia Ada.
Sehubungan itu, Lim berkata bagi menggalakkan penerimagunaan teknologi, sesebuah organisasi perlu mempertimbangkan penggunaan digital secara holistik dengan menumpukan kepada pembangunan tenaga mahir, merancakkan program latihan semula dan merapatkan jurang bakat serta kemahiran pekerja tempatan sedia ada.
Sementara itu, Pengerusi MPC Ram Ganesan Karthigasu berkata melalui ArISe, MPC terus menggalakkan organisasi membuat penambahbaikan secara konsisten, seterusnya dapat memperkukuh budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan pekerja.
“Pembangunan bakat masa hadapan ke arah menerima guna dan mencipta teknologi baharu dilihat sangat kritikal untuk meningkatkan keupayaan syarikat meneruskan kelangsungan perniagaan dalam menghadapi cabaran fasa pemulihan pandemik COVID-19,” katanya.
Justeru, katanya MPC akan terus menyediakan platform ini bagi memperkukuh ekosistem pembudayaan inovasi di Malaysia, seterusnya memacu pembangunan negara dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial