KUALA LUMPUR, 1 Dis -- Kementerian Sumber Manusia (KSM) berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia menerusi pelaksanaan tiga program anjurannya.
Menteri bertanggungjawab, Datuk Seri M.Saravanan berkata ketiga program itu adalah ‘Second Chances and Opportunities for People to Excel (SCOPE)’, induksi keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta kursus kemahiran setempat di 32 Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) secara percuma.
Beliau berkata menerusi SCOPE, 1,000 banduan dari penjara seluruh negara yang hampir tamat tempoh hukuman akan menjalani latihan kemahiran bagi penempatan pekerjaan dalam sektor perkhidmatan, perkilangan, pertanian, pembinaan dan sektor lain berasaskan industri.
"Seramai 350 banduan telah dilatih dan mula bekerja sejak akhir Oktober, manakala bakinya masih menjalani latihan.
"Daripada 1,000 yang terpilih, 10 peratus merupakan banduan wanita yang terbabit dalam pelbagai kesalahan berkaitan dadah,” katanya selepas ditemu bual secara langsung dalam Buletin Bernama di sini, hari ini.
Mengenai induksi keselamatan dan kesihatan pekerjaan, Saravanan berkata ia merupakan program latihan percuma yang disediakan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) secara dalam talian serta bersemuka meliputi sektor minyak dan gas, telekomunikasi, tenaga elektrik, operator lebuh raya dan perkilangan.
Beliau berkata seramai 5,004 peserta terdiri daripada golongan pelajar serta lepasan institusi pendidikan dan kemahiran telah menjalani kursus tersebut sehingga kini, menepati jumlah yang disasarkan.
Bagi kursus kemahiran setempat di 32 ILJTM pula, Saravanan berkata ia ditawarkan secara percuma kepada pencari kerja dan golongan hilang pekerjaan melibatkan kalangan komuniti institut latihan tersebut.
Ia menawarkan kursus kemahiran seperti kimpalan, penyelenggaraan asas kenderaan, pendawaian elektrik dan penyelenggaraan sistem pendingin hawa selain modul keusahawanan sebagai nilai tambah kepada peserta.
Beliau berkata setakat ini seramai 11,634 peserta telah mendapat manfaat daripada kursus tersebut.
“KSM peka akan keperluan rakyat terutama mereka yang terjejas dari segi mata pencarian dan kehilangan pekerjaan dalam waktu pandemik COVID-19,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial