KUALA LUMPUR, 1 Dis -- Seramai 94 pengunjung sebuah pusat hiburan di Bandar Utama, Petaling Jaya, di sini, dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam serbuan di pusat hiburan berkenaan seramai dua pengunjung turut didapati positif dadah jenis syabu.
Beliau berkata semasa serbuan dilakukan muzik di premis berkenaan dipasang dengan kuat dan pelanggan sedang berhibur.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua pengunjung berumur lingkungan 19 hingga 57 tahun berkenaan mendapati dua orang lelaki positif dadah dan mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fakhrudin berkata semua pengunjung pusat hiburan berkenaan yang merupakan warga tempatan dikompaun di bawah peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Kompaun sebanyak RM10,000 turut dikeluarkan kepada pemilik premis berkenaan di bawah Peraturan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana telah menjalankan perniagaan pusat hiburan semasa tempoh (Fasa Empat) PPN.
“Pemilik premis berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 76(1) Akta Eksais (menjual minuman keras tanpa lesen) dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor (menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen yang sah),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial