AM

Berita ringkas Bernama: 30 Nov

30/11/2021 08:12 PM

PENUTUPAN SEMENTARA LHDN CAWANGAN CHERAS UNTUK SANITASI

 

KUALA LUMPUR, 30 Nov -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Cheras ditutup sementara selama empat hari mulai hari ini hingga 3 Dis bagi kerja-kerja sanitasi dan akan beroperasi semula 6 Dis ini.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua janji temu pelanggan yang telah diluluskan melalui sistem e-Janji Temu untuk hadir ke kaunter, dibatalkan.

“Pelanggan perlu membuat permohonan janji temu yang baharu setelah kaunter dibuka semula. Pelanggan juga disyorkan membuat semakan senarai pejabat dan cawangan HASiL yang ditutup sementara terlebih dahulu sebelum hadir ke mana-mana premis bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

“Sebarang pertanyaan boleh berhubung melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara); HASiL Live Chat dan borang maklum balas menerusi portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

PENDIDIKAN LITERASI POLITIK PERLU DIPERKASA SEBELUM PELAKSANAAN UNDI 18 - MBM

 

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Pendidikan literasi politik perlu diperkasakan di peringkat sekolah dalam mempersiapkan para belia untuk mendukung agenda Undi 18, kata Penolong Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) Kavita Maheendran.

Beliau berkata sistem pendidikan di Malaysia dilihat masih tidak mampu menyediakan para belia berumur 18 tahun untuk menghadapi cabaran sebagai seorang calon pilihan raya dengan mata pelajaran sivik dan pengajian am semata-mata kerana ia hanya memberi pendedahan mengenai sejarah politik tetapi tidak menekankan aspek asas negara demokrasi.

"Subjek seperti sains politik, sosiologi, ekonomi dunia, sejarah dunia, perhubungan antarabangsa serta pentadbiran dan dasar awam perlu diterapkan dalam silibus persekolahan. Jika mereka tidak cukup pengalaman, kepakaran dan pemikiran kritikal, para belia akan terpesong dan tidak dapat memperjuangkan isu-isu yang menjejaskan rakyat Malaysia.

"Kemampuan pengundi belia dalam membuat penilaian dan penelitian terhadap manifesto, parti dan ahli politik serta pengambilan keputusan yang kukuh masih perlu dipertingkatkan. Tindakan pelaksanaan undang-undang dalam masa terdekat tanpa pelan soft-landing atau peralihan yang lancar boleh mengundang kegagalan para belia dalam persaingan dunia politik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

-- BERNAMA

 

 

PROGRAM TIGA BULAN DBIM PERKASA BELIA INDIA

 

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Dewan Belia India Malaysia (DBIM) menganjurkan sebuah program bagi menggalakkan kesedaran dan aktivisme kepada 70 belia India berusia 16 hingga 30 tahun mulai bulan ini hingga Januari 2022.

DBIM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan program pemerkasaan belia itu merupakan platform untuk mereka menyalurkan pendapat dan cadangan mengenai dasar dan politik negara serta membahaskan usul berkaitan dasar negara, undang-undang dan masyarakat India.

“Semasa program itu, pelbagai bengkel kesedaran politik, simulasi perbahasan Parlimen dan wacana dasar negara juga akan diadakan. Program ini turut menumpukan kepada pembentangan usul lima kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan semasa persidangan yang akan diadakan secara maya,” menurut kenyataan itu.

DBIM memberitahu, program anjuran sekretariat bebas bersama Undi 18 itu diterajui oleh aktivis dan pemimpin belia Kiran Raj Sathivel dan mendapat sokongan daripada beberapa organisasi, pemimpin dan aktivis masyarakat India termasuk Ahli Parlimen Batu  P. Prabakaran.

-- BERNAMA

 

 

65 PERATUS RAKYAT MALAYSIA BERMINAT MELANCONG DALAM NEGARA - VISA 

 

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Seramai 65 peratus rakyat Malaysia tidak sabar-sabar untuk melancong dalam negara manakala 40 peratus lagi berhasrat ingin melancong ke luar negara menjelang pertengahan 2022, menurut hasil kajian oleh Visa Voice of the Consumer.

Visa dalam kenyataan hari ini memaklumkan kajian itu mendapati tiga pertimbangan utama pengembara Malaysia adalah menerima vaksinasi (66 peratus), kestabilan situasi COVID-19 di destinasi pelancongan (66 peratus) dan pengurangan kes jangkitan COVID-19 secara global (56 peratus).

Pengurus Negara bagi Visa Malaysia Ng Kong Boon berkata walaupun sempadan negeri dan negara dibuka untuk pelancongan, keselamatan peribadi tetap diutamakan pelanggan, justeru perniagaan perlu terus giat menguruskan sekatan dan mengelakkan gelombang jangkitan pada masa hadapan.

“Satu daripada aktiviti yang dilakukan oleh semua pengembara tidak kira destinasi ialah membuat pembayaran. Sebab itu pembayaran digital akan menjadi peranan penting dalam merangsang pemulihan perniagaan dan mengehadkan sentuhan fizikal dan penyebaran jangkitan,” katanya.

Menurut kajian itu, China, Australia dan Jepun diikuti oleh negara jiran Thailand dan Singapura adalah destinasi pelancongan luar paling popular untuk rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan