AM

RMC rancang bina pusat perubatan lebih baik di Sibu

30/11/2021 06:50 PM

SIBU, 30 Nov -- Pusat Perubatan Rejang (RMC) merancang untuk membina sebuah pusat perubatan baharu di sini, yang dilengkapi dengan kemudahan lebih baik bagi memenuhi keperluan perubatan penduduk di Sibu serta kawasan sekitar lembangan Rajang yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif RMC Dr John Tang berkata pusat perubatan bernilai RM150 juta di Jalan Dr Wong Soon Kai itu akan menempatkan 200 katil pesakit.

“Sudah tiba masanya untuk RMC tampil dengan pusat perubatan yang lebih besar dan dibina dengan lebih baik selepas 20 tahun penubuhannya di sini, selari dengan kemajuan bidang perubatan dan peningkatan jangkaan orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa semasa menyampaikan taklimat mengenai projek itu kepada Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee di premis RMC di sini hari ini.

Sementara itu pengerusi projek Dr Peter Tang berkata pusat baharu itu akan menyediakan antara lain perkhidmatan kardiologi dengan perkhidmatan angiografi, perkhidmatan neurologi dan pembedahan saraf serta perkhidmatan onkologi dengan radioterapi dan kemoterapi selain perkhidmatan perubatan, ginekologi dan pembedahan yang lebih khusus.

“Semua ini adalah tambahan kepada perkhidmatan perubatan semasa kami di pusat sedia ada. Turut diadakan ialah perkhidmatan sokongan yang diperbesarkan termasuk pusat rawatan harian untuk pesakit onkologi, pusat pemulihan baharu dengan ahli fisioterapi, juruterapi pekerjaan dan pertuturan serta pusat hemodialisis yang mempunyai 50 hingga 60 mesin,” katanya.

Pelaksanaan projek itu masih menunggu kelulusan daripada Lembaga Perancang Sarawak (SPA).

Dr Annuar pula berkata beliau dan Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew akan membantu RMC dalam perkara itu.

Beliau menekankan bahawa hospital swasta memainkan peranan yang sangat penting dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan terutamanya semasa pandemik COVID-19.

“Dalam setahun yang lepas, apabila kita menangani jumlah kes Covid-19 yang tinggi, hospital kerajaan bergelut untuk mendapatkan keputusan ujian PCR yang cepat. Nasib baik hospital swasta menghulurkan bantuan kepada kita. Bayangkan kalau kita tidak mempunyai hospital swasta ketika itu.

“Kita juga menghantar pesakit ke sini untuk perkhidmatan lain selain meminjam peralatan perubatan di sini. Semua ini menunjukkan betapa pentingnya hospital swasta,” katanya sambil menambah, jika direalisasikan kelak pusat hemodialisis di pusat baharu itu akan menjadi yang terbesar di negeri ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan