JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Melaka tahan 1,803 penagih dadah sejak Jan hingga Nov tahun ini

30/11/2021 06:03 PM

MELAKA, 30 Nov -- Polis Melaka menahan 1,803 penagih dadah di negeri itu bagi tempoh 1 Jan hingga 28 Nov lepas, meningkat 25 peratus berbanding 1,442 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Supt Zulkiflee Rashid berkata dalam tempoh sama tahun ini, sebanyak 622 individu terlibat dalam aktiviti pengedaran turut ditahan, menurun 13 peratus berbanding 715 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

"Selain itu, sebanyak 1,031 orang ditahan kerana memiliki dadah, menurun 24 peratus  tahun ini berbanding 1,364 orang  dalam tempoh sama tahun lepas.

"Terbaharu, sebanyak 15 individu warga tempatan termasuk seorang wanita berusia 23 hingga 61 tahun ditahan melibatkan sembilan kes dan pelbagai dadah bernilai RM43,117.80 dirampas dalam tempoh tujuh hari bermula 22 Nov lepas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata nilai rampasan dadah bagi tempoh 1 Jan hingga 28 Nov adalah sebanyak RM14.64 juta berbanding RM11.63 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Katanya, dalam tempoh sama tahun ini juga, sebanyak 18.9 kilogram (kg) heroin dirampas, berbanding 12.1 kg heroin dalam tempoh sama tahun lepas sementara sebanyak 197,233 biji pil ekstasi dirampas pada tahun ini berbanding 642 biji pada 2020.

Sementara rampasan bagi ganja pula menurun kepada 2.4 kg dalam tempoh sama tahun ini berbanding 7.2 kg ganja manakala syabu sebanyak 316.29 kg dirampas tahun ini berbanding 69.3 kg tahun lepas.

"Kejayaan ini adalah usaha Polis Melaka dalam memerangi dadah di Melaka dan keberkesanan risikan serta tangkapan berkualiti.

"Selain itu, kejayaan berkenaan adalah hasil perkongsian maklumat orang awam dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah secara lebih berkesan dan kita mengharapkan kerjasama masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dadah di sekeliling mereka," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan