Oleh Linda Khoo Hui Li
BANGKOK, 29 Nov -- Thailand sedang mempertimbangkan untuk membatalkan rancangan menggunakan kit ujian pengesanan pantas semasa ketibaan, memandangkan semakin banyak negara mengesan varian Omicron dan akan mengenakan sekatan perjalanan baharu bagi mencegah penularan varian itu.
“Ujian RT-PCR mungkin terus digunakan. Bagaimanapun, Kami akan terus menyemak situasi itu,” kata penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan, pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.
Pada Jumaat, Thailand meluluskan rancangan untuk menggunakan kit ujian pengesanan pantas kepada pengembara lengkap vaksin COVID-19 bagi mempercepat proses kemasukan dalam usaha merancakkan semula sektor pelancongannya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam Dr Satit Pitutecha berkata tiada kes varian Omicron dikesan di Thailand setakat ini.
Dr Satit telah mengarahkan agensi di bawah Jabatan Sains Perubatan untuk meningkatkan pengawasan bagi memastikan varian Omicron boleh dikesan dengan cepat.
“Bagaimanapun, varian itu mungkin dibawa masuk menerusi secara semula jadi dan merentasi sempadan dengan negara jiran, jadi berhati-hatilah,” katanya seperti dipetik The Nation.
Pada Sabtu, Thailand turut mengenakan larangan ke atas pengembara dari lapan negara Afrika susulan penuralan varian Omicron.
Sepanjang 24 jam lepas, Thailand merekodkan 4,753 kes baharu COVID-19 dan 27 kematian, jumlah kes dan kematian terendah dalam tempoh lima bulan.
Sehingga kini, Thailand merekodkan 2,111,566 kes COVID-19 dan 20,734 kematian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial