KUALA LUMPUR, 29 Nov -- Terdapat keperluan untuk melihat kembali kepada sektor pertanian sebagai sumber peluang pekerjaan berpotensi dan peningkatan pelaburan modal dalam memodenisasi sektor ini, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata menyedari kepentingan kesan pandemik terhadap pengeluaran pertanian dan harga, jaminan keselamatan makanan telah menjadi semakin penting.
“Penekanan kepada jaminan kestabilan bekalan makanan adalah perlu terutamanya bagi item pertanian yang mempunyai kadar sara diri yang tidak mencukupi dan kebergantungan kepada import yang masih tinggi.
“Di samping itu, penekanan juga perlu mengambil kira kebolehcapaian kepada makanan terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah disebabkan faktor harga yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perkembangan sektor pertanian berpotensi mengurangkan kebergantungan import dari luar negara.
Jumlah import sektor pertanian meningkat kepada RM98 bilion pada 2020 berbanding RM93.5 bilion pada 2019.
“Ini menunjukkan kebergantungan negara kepada import pertanian semakin meningkat bagi memenuhi keperluan domestik di samping menambah kepelbagaian pilihan kepada pengguna dan industri pemprosesan.
“Dalam tempoh 28 tahun (1987-2015), kebergantungan Malaysia terhadap import komoditi pertanian meningkat kepada 13.7 peratus daripada 7.3 peratus,” katanya.
Pada masa sama, sektor pertanian menyumbang kepada negara melalui eksport, terutamanya dengan produk yang dihasilkan daripada komoditi pertanian seperti minyak kelapa sawit, getah dan koko.
Jumlah eksport pertanian negara meningkat daripada RM115.5 bilion pada 2019 kepada RM118.6 bilion pada 2020.
Sektor pertanian menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.4 peratus pada 2020 dan pertumbuhan sektor ini menyusut 2.2 peratus daripada 2.0 peratus pada tahun sebelumnya.
Penurunan ini disebabkan oleh subsektor komoditi terutamanya kelapa sawit yang mencatatkan pertumbuhan negatif 3.6 peratus berbanding 1.5 peratus pada 2019.
Mohd Uzir berkata walaupun kadar pertumbuhan kelapa sawit menunjukkan penurunan, namun ia merupakan penyumbang utama kepada nilai tambah sektor pertanian dengan RM36.9 bilion atau 37.1 peratus.
“Walaupun pengeluaran buah tandan segar (kelapa sawit) merupakan yang tertinggi dalam kalangan komoditi pertanian, tetapi menurun sebanyak 2.09 juta tan atau 2.1 peratus, diikuti getah asli dan lada, masing-masing merekodkan penurunan sebanyak 125,100 tan dan 3,100 tan,” katanya.
Mohd Uzir berkata pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia menunjukkan peningkatan 0.9 peratus pada 2020 apabila Pahang kekal sebagai pengeluar tertinggi dengan sumbangan 35.1 peratus, diikuti Johor (20.2 peratus) dan Kelantan (12.5 peratus).
Manakala pengeluaran buah-buahan pula menurun 0.7 peratus dalam tempoh sama, dengan Johor merupakan negeri tertinggi pengeluaran buah-buahan di Malaysia dengan sumbangan 36.0 peratus, diikuti Pahang (13 peratus) dan Sarawak (11.2 peratus).
Bagi subsektor ternakan, bilangan ternakan dilihat meningkat kecuali kerbau, bebiri dan babi.
Walaupun populasi ternakan menunjukkan peningkatan, pengeluaran merosot kecuali daging ayam/itik, telur ayam/itik dan susu segar.
Penurunan sesetengah komoditi turut dikaitkan dengan kurangnya permintaan daripada restoran, kedai makan dan hotel yang tidak beroperasi atau mengehadkan operasi kesan daripada pandemik COVID-19.
Sementara itu, pendaratan ikan laut pada 2020 berjumlah 1.38 juta tan, berkurangan 5.0 peratus berbanding 1.45 juta tan pada 2019, akibat kekurangan operasi vesel laut dalam impak daripada sekatan kemasukan semula tenaga kerja asing.
Pada masa sama, pengeluaran akuakultur air payau/masin dan air tawar, masing-masing merosot 1.4 peratus dan 7.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial