KUALA TERENGGANU, 28 Nov -- Seorang nelayan ditemukan selamat selepas menempuh detik cemas terapung selama kira-kira tujuh jam akibat bot dinaiki terbalik dipukul ombak semasa keluar memancing bersendirian di perairan Pulau Kapas, dekat sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata Mohd Nasir Othman, 45, yang terapung dengan berpaut pada bot yang hampir tenggelam, ditemukan dan diselamatkan kru sebuah bot tunda pada kira-kira pukul 5 petang hari sama di kedudukan 19.5 batu nautika tenggara Pulau Kapas.
Katanya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman menerima panggilan daripada bot tunda Macallan 9 yang sedang dalam perjalanan dari Thailand menuju ke Indonesia, pada pukul 7.15 malam.
''Bertindak atas aduan itu, bot Penggalang 16 diatur gerak bagi mengambil nelayan itu dari bot tunda berkenaan di kedudukan 10 batu nautika dari Kuala Kemaman.
"Mohd Nasir tiba di Jeti Zon Maritim Kemaman pada pukul 3.40 pagi tadi dan dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial