NILAI, 28 Nov -- Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM12 juta di bawah Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang memanfaatkan seramai 4,147 penerima di negeri ini sejak 2019.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata program bantuan pembiayaan dalam bentuk geran itu, merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu usahawan mikro khususnya penjaja dan peniaga kecil mengembangkan perniagaan mereka.
“Pada tahun ini sejumlah RM3 juta diperuntukkan melibatkan 1,078 usahawan. Ia bukan sahaja meningkatkan perniagaan mereka ke arah yang lebih baik, namun secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Nismilan ‘Showcase’ yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek di sini, hari ini.
Aminuddin berkata sebanyak RM3 juta turut diperuntukkan kerajaan negeri bagi TUNS ‘Plus’ iaitu pinjaman mudah tanpa faedah kepada usahawan mikro, yang baharu diperkenalkan tahun ini dan memberi manfaat kepada 213 penerima.
Sementara itu, mengulas mengenai Pesta Bola Ngoca 2021 yang dijadualkan berlangsung di Kampung Budaya Terachi, Kuala Pilah selama dua hari bermula 11 Dis ini, beliau berkata seramai 10,000 pengunjung bakal memeriahkan pesta berkenaan.
Beliau berkata selain daripada aktiviti bola sepak, turut diadakan pertandingan sukan tradisional termasuk mengoca, panjat tiang licin dan tangkap itik.
Jelasnya stadium bola ngoca dengan kos RM600,000 yang akan digunakan untuk aktiviti itu, merupakan satu-satunya stadium mengoca dalam negara sekali gus menjadi tarikan pelancongan baharu di Negeri Sembilan.
“Beberapa kemudahan lain antaranya lot kedai, dewan dan pentas dengan kos kira-kira RM1.5 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga bakal dibina di lokasi sama, bagi kemudahan orang ramai,” katanya.
Pesta Bola Ngoca merupakan pertandingan bola sepak yang dimainkan di sawah padi, dan bertujuan mempromosikan sukan tradisional dan aktiviti mengoca yang sinonim dengan masyarakat Negeri Sembilan, sekali gus sebagai tarikan pelancong dalam dan luar negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial