AM

KKMM catat prestasi terbaik pemprosesan bil berbanding kementerian lain

27/11/2021 12:16 AM

KOTA BHARU, 26 Nov  -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berjaya mengatasi kementerian lain apabila mencatatkan prestasi pemprosesan bil dan tuntutan terbaik sejak Mac lepas.

Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek berkata kejayaan itu hasil kerjasama warga kementerian dalam memastikan sasaran indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan beliau dicapai apabila menyandang jawatan tersebut tahun lepas.

"Kita menduduki tempat pertama berbanding semua kementerian dari segi pembayaran bil. Sekarang kita boleh berbangga prestasi bayaran dalam tempoh tiga hari ialah 99 peratus.

"Selain KKMM, agensi di bawahnya seperti Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia), FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional), MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) juga menunjukkan prestasi bayaran bil yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 dan Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2021 KKMM Zon Timur di sini hari ini.

Mohammad juga berkata beliau mahu prestasi itu diteruskan dan menyeru agar warga KKMM kekal relevan sesuai dengan tuntutan semasa.

"Berubah ikut keadaan dan cabaran semasa, tuntutan rakyat kian meningkat, mereka mahukan perkhidmatan yang berkualiti, cepat dan pantas... tidak seperti dahulu," katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Ruzain Idris, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Ma Sivanesan, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Mazlan Abd Mutalib dan Ketua Pengarang Bernama Abdul Rahman Ahmad.

Dua petugas Biro Bernama Kelantan iaitu Pegawai Berita Mohd Noor Iqram Rosli dan Jurufoto Zulkarnain Kamaruddin adalah antara 39 warga KKMM Zon Timur yang menerima APC.

Bernama turut meraih Anugerah Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Kategori Organisasi Gemilang Tahun 2021 dan Mokhtar mewakili agensi berita itu menerima anugerah tersebut.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan