KUALA LUMPUR, 26 Nov -- Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa (MAGIA) edisi ke-8 (2021) dan Anugerah Merdeka edisi ke-12 (2020) kepada sembilan penerima, anjuran Merdeka Award Trust (MAT) di sini hari ini.
Anugerah Merdeka itu diwujudkan untuk mengiktiraf persatuan dan memberi ganjaran kepada individu dan organisasi cemerlang yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan negara.
Presiden dan Ketua Kumpulan Eksekutif Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik yang juga ahli Lembaga Pemegang Amanah MAT berkata anugerah itu diperkenalkan untuk memupuk dan menyokong anak muda Malaysia dalam pencapaian cemerlang yang mereka kecapi.
“Kami telah memilih penerima geran tahun ini dengan penuh keyakinan mereka akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin untuk melibatkan diri dengan pakar terkenal dunia dalam bidang pengkhususan masing-masing,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.
Lima penerima MAGIA itu adalah pensyarah kanan di Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Wan Nor Fitri Wan Jaafar, 31; pegawai penyelidik di Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu Dr Aini Hasanah Abd Mutalib, 33; dan pensyarah kanan Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (APU), Dr Freddy Tan Kheng Suan, 35.
Penerima lain adalah pengajar di kampus University of Nottingham Malaysia Jessica Ooi Sui Ying, 31; dan pakar astrofizik dan pensyarah kanan di Jabatan Fizik Gunaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Nur Adlyka Ainul Annuar, 31.
Dr Wan Nor Fitri berkata beliau memilih Center of Conservation Genomics, Smithsonian’s National Zoo dan Conservation Biology Institute di Washington untuk melanjutkan pengajian pengklonan dan sel stem dalam pembiakan hidupan liar, manakala Centre for Conservation Bioacustics di Cornell University di Amerika Syarikat (AS) menjadi pilihan Aini Hasanah untuk meneruskan penyelidikan mengenai bioakustik beruk kecil.
Freddy Tan berkata beliau akan memberi tumpuan dalam penyelidikan mereka bentuk pengecas on-board kenderaan elektrik bagi generasi akan datang manakala Jessica berkongsi perancangan seterusnya untuk membangunkan peranti berasaskan kertas untuk pengesanan kanser ovari di ETH Zurich, Switzerland.
Sementara itu, Nur Adlyka berkata beliau akan meneruskan penyelidikan astrofiziknya mengenai lubang hitam di California Institue of Technology, AS.
MAGIA diperkenalkan pada 2012 untuk membantu generasi muda Malaysia membina kepakaran dengan menjalani pengalaman pembelajaran di institusi atau organisasi antarabangsa melalui penempatan selama tiga bulan.
Penerima Anugerah Merdeka pada tahun lepas juga diraikan pada majlis yang sama kerana tiada acara penyampaian fizikal diadakan sebelum ini akibat pandemik COVID-19.
Pemenang edisi ke-12 Anugerah Merdeka 2020 termasuk Majlis Kanser Negara (MAKNA) dalam kategori Pendidikan dan Komuniti, South East Asia Rainforest Research Partnership (SEARRP) kategori Alam Sekitar, Prof Dr Ng Kwan Hoong dalam kategori Pencapaian Akademik Luar Biasa dan Suzanne Mooney untuk kategori Sumbangan Luar Biasa Kepada Rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial