EKONOMI

MAHB, Dassault bekerjasama buka pusat MRO jet perniagaan dengan pelaburan RM100 juta

26/11/2021 05:40 PM

SUBANG, 26 Nov -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan bekerjasama dengan anak syarikat Dassault Aviation, ExecuJet MRO Services Malaysia, untuk membuka pusat penyenggaraan jet perniagaan dengan pelaburan lebih RM100 juta.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata kemudahan baharu seluas 144,000 kaki persegi itu yang terletak di Lapangan Terbang Subang dan berupaya menampung sehingga 45 pesawat setiap bulan dijangka siap pada suku keempat 2023.  

“Lapangan Terbang Subang telah mempelopori aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi aeroangkasa dan penerbangan sejak 2005.

"Ia membentuk sebahagian daripada pembangunan Aeropolis kumpulan yang menumpukan kepada tiga kluster teras iaitu Aeroangkasa dan Penerbangan, Kargo dan Logistik dan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran serta Liburan. 

“Aeropolis adalah pembangunan luar terminal yang bersepadu dan sinergi menumpukan kepada aktiviti pertumbuhan utama yang diselaraskan dengan rangka tindakan nasional,” katanya pada majlis pertukaran dokumen kerjasama itu, di sini, hari ini.  

Iskandar Mizal berkata matlamat utama Aeropolis adalah untuk mewujudkan ekosistem penerbangan yang boleh menarik pelaburan langsung asing oleh pengendali global.

Berdasarkan kepada ekosistem sedia ada di Lapangan Terbang Subang, beliau berkata, ia berada di landasan untuk mencapai hasratnya kerana ekosistem aeroangkasa lapangan terbang itu diiktiraf sebagai sebahagian penting daripada rantaian nilai pembuatan dan pemasangan aeroangkasa global serta sebagai hab MRO serantau bagi penerbangan awam

“Selain daripada menarik pelaburan asing dan menyumbang kepada ekonomi tempatan, kita akan meningkatkan modal insan dengan menambah kemahiran tenaga kerja tempatan dengan pengetahuan teknikal dan keupayaan baharu, yang mana ExecuJet akan membuat pelaburan besar bagi melatih tenaga kerja tempatannya," katanya.

ExecuJet merupakan satu daripada sebilangan besar pemain penerbangan global yang ketika ini berpangkalan di Lapangan Terbang Subang yang telah beroperasi di sana sejak awal 2009 dan adalah penyedia perkhidmatan MRO pesawat perniagaan terbesar di Malaysia. 

Kerjasama strategik itu akan menyaksikan MAHB menyewakan semula 186,000 kaki persegi kepada ExecuJet untuk membina hangar MRO canggih baharu bagi jet peribadi di Lapangan Terbang Subang dengan ruang untuk hangar, penyenggaraan, bengkel kerja dan pejabat korporat, kata Iskandar Mizal.

Sementara itu, Naib Presiden Serantau Asia ExecuJet MRO Services, Ivan Lim berkata pelaburan baharu bernilai RM100 juta itu bagi tujuan pengembangan termasuk kemudahan binaan khas, menaik taraf peralatan dan latihan akan meningkatkan lagi kemudahan MRO syarikat. 

“Di kemudahan kami seluas kira-kira 52,000 kaki persegi ketika ini, kami melakukan penyenggaraan kira-kira 30 jet sebulan pada masa ini dan kira-kira 40 jet sebulan sebelum pandemik, Dengan kemudahan baharu itu, kami menjangka menyenggara 45 hingga 50 jet sebulan,” katanya.

Lim berkata kemudahan sekarang memiliki kira-kira 70 kakitangan teknikal dan menjangka mempunyai kira-kira 100 kakitangan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mengenai prospek perkhidmatan MRO, beliau berkata perniagaan kekal berdaya tahan meskipun terjejas akibat pandemik COVID-19 tetapi ia banyak bergantung kepada bilangan pesawat di rantau ini.  

“Bagaimanapun, jelas sekali penerbangan am dan perniagaan telah pulih dengan pantas berbanding penerbangan komersial pasca pandemik terutamanya di rantau ini, justeru, kami sangat yakin dengan pasaran dan pelaburan ini,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan