GEORGE TOWN, 26 Nov -- Kerajaan negeri menubuhkan satu pasukan bertindak (task force) untuk memantau kebajikan dan kesihatan mental kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata pasukan bertindak itu diwujudkan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan Negeri.
“Buat masa ini, ‘task force’ amat perlu untuk membantu kanak-kanak ini. Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan (Masyarakat) akan melakukan siasatan atas keperluan mereka serta menghubungi keluarga yang terlibat untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan bantuan bakul makanan.
“Berdasarkan rekod, tiada kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 dimasukkan ke institusi kebajikan kerana mereka semua dijaga ahli keluarga atau penjaga,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ong Ah Teong (DAP-Batu Lancang) mengenai statistik kematian COVID-19 negeri dan nasib kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat wabak itu.
Norlela berkata sebanyak dua keluarga di negeri ini telah kehilangan kedua-dua ibu bapa akibat COVID-19, iaitu membabitkan empat kanak-kanak, manakala 299 lagi kanak-kanak di negeri ini telah kehilangan ibu atau bapa, setakat Selasa lepas.
Mengulas mengenai kes kematian akibat COVID-19, beliau berkata terdapat 1,642 kes kematian direkodkan di Pulau Pinang dari 1 Jan hingga 22 Nov tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial