AM

Aspirasi 100 hari Kementerian Alam Sekitar dan Air berjaya tercapai - Tuan Ibrahim

26/11/2021 12:45 AM

KUALA LUMPUR, 25 Nov  -- Pelaksanaan pelan strategik dengan peruntukan RM50 juta khusus bagi mengelak tragedi kepala air dan banjir lumpur di sekitar kaki Gunung Jerai, Yan, Kedah pada 18 Ogos lepas berulang, merupakan antara penanda aras kejayaan Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sasaran utama yang dicapai oleh pihaknya dalam membantu rakyat dapat dilihat menerusi pelaksanaan usaha bagi menangani isu bekalan air, dan pelaksanaan projek mitigasi serta sistem amaran banjir bagi mengelak kejadian bencana pada 18 Ogos itu berulang.

Beliau berkata di samping itu kementeriannya juga meletakkan sasaran untuk melaksanakan pelbagai projek yang dapat memanfaatkan rakyat, antaranya program membekalkan air kepada penduduk yang tinggal jauh daripada sistem paip utama.

“Kita bangunkan satu sistem yang kita namakan Wakaf Air, sistem ini ialah salah satu projek yang kita laksanakan dalam tempoh 100 hari ini. Terdapat 12 projek yang kita letak sasaran yang dapat dimanfaatkan oleh 6,262 penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sebelum menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan tajuk Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kementerian Alam Sekitar dan Air malam ini.

Tuan Ibrahim berkata pihak kementerian juga sedang memperluaskan lagi sistem pengambilalihan perkhidmatan pembentungan daripada majlis-majlis perbandaran.

“Dengan pengambilalihan air ini, bermakna di Semenanjung, Indah Water Konsortium (IWK) telah ambil alih sistem pengurusan pembentungan kita dan kita telah pun capai sasaran. Walaupun proses ini mengambil masa yang sangat panjang tapi kita berjaya selesaikan," katanya.

Beliau berkata kejayaan pihaknya dalam mencapai sasaran yang ditetapkan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) itu adalah hasil usaha gigih seluruh jentera kementerian dalam mencapai aspirasi Keluarga Malaysia bagi tempoh 100 hari selepas beliau dilantik ke jawatan menteri Ogos lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan