KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Seramai 20 pemain Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan bakal menggalas cabaran di Kejohanan Trofi Juara Asia Wanita 2021 yang berlangsung di Donghae, Korea Selatan dari 5-12 Dis ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Najmi Razak berkata ia bakal menjadi kejohanan pertama bagi 12 pemain baharu pasukan, untuk mereka meraih penampilan bersama pasukan negara.
“Pasukan yang akan ke Donghae merupakan projek jangka masa panjang iaitu 2026 dan ia baru dibentuk. Selama dua tahun pasukan ini tidak mempunyai sebarang perlawanan, antarabangsa mahupun latihan diluar negara.
“Perlawanan ini juga akan digunakan sebagai medan untuk memberikan pendedahan kepada barisan muda negara untuk mereka mendapatkan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa, dan menentang pasukan-pasukan terbaik di Asia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kejohanan yang menggunakan format liga satu kumpulan itu menyaksikan pasukan negara akan bersaing bersama India, China, Korea, Jepun dan Thailand, selain berdepan cabaran beraksi di bawah suhu hingga -2 darjah celsius.
Skuad negara yang diketuai pemain berpengalaman Juliani Mohamad Din itu mempunyai purata usia pemain 22 tahun dengan dibarisi dua penjaga gol, tujuh pemain pertahanan, lima pemain di posisi tengah dan enam pemain di bahagian serangan.
Sementara itu Ketua Jurulatih Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menjelaskan pemilihan 20 pemain adalah berdasarkan prestasi semasa siri persahabatan bersama pasukan kelab masing-masing dan ketika Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 baru-baru ini.
Beliau menyifatkan kejohanan ini akan membantu pemain membina keyakinan yang tinggi dalam diri mereka ketika beraksi dengan pasukan yang berkedudukan lebih tinggi.
“Mengenai kejohanan ini, ia merupakan satu platform yang baik untuk kami terus meneliti perkembangan pemain-pemain dan memberikan pengalaman yang sangat berguna untuk mereka di peringkat antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA\
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial