KONSEP KELUARGA MALAYSIA DALAM PENGGUBALAN DASAR KERAJAAN
KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Konsep Keluarga Malaysia diterjemahkan dalam penggubalan dasar kerajaan yang menggariskan perancangan strategik secara komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid berkata Keluarga Malaysia adalah aspirasi jangka panjang bagi melahirkan masyarakat yang kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai status negara maju serta berpendapatan tinggi berlandaskan petunjuk prestasi utama (KPI) dan keberhasilan kebahagiaan (KHO) kerajaan.
“Sememangnya konsep Keluarga Malaysia tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti malah kepada semua kaum. Ini jelas dengan usaha-usaha kerajaan yang menyediakan pelbagai bantuan prihatin rakyat merangkumi aspek kebajikan, kesihatan, kemudahan infrastruktur bagi mensejahterakan hidup dan memastikan pemulihan ekonomi negara berjaya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abduk Karim (GPS-Batang Lupar) yang ingin tahu bagaimana konsep Keluarga Malaysia diterjemahkan menerusi dasar dan pelaksanaan yang dirangka kerajaan agar tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti tetapi meliputi semua lapisan kaum dan bangsa.
-- BERNAMA
PENUTUPAN INSTITUSI TAHFIZ SWASTA BERDAFTAR BERSIFAT SEMENTARA
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Penutupan institusi tahfiz swasta berdaftar adalah bersifat sementara, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.
Beliau berkata ini adalah berdasarkan maklumat yang disahkan pihak berkuasa agama negeri selain menjelaskan penutupan institusi itu bagi mematuhi arahan kerajaan agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan.
“Tidak ada laporan daripada pihak berkuasa agama negeri yang memaklumkan sekolah maahad tahfiz diarahkan tutup, ia cuma diberhentikan (operasi) kerana mematuhi peraturan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sendiri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) yang bertanyakan langkah kerajaan membantu institusi tahfiz dan madrasah persendirian yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
30,679 MAKLUMAT RASUAH LIBAT PENJAWAT AWAM DARI 2015 HINGGA SEPTEMBER 2021
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 30,679 maklumat berkaitan rasuah melibatkan penjawat awam bagi tempoh 2015 sehingga September tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 3,357 kertas siasatan dibuka.
“Berdasarkan jumlah kertas siasatan yang dibuka sepanjang tempoh itu, sebanyak 3,056 tangkapan dilakukan, 1,159 pertuduhan dibuat di mahkamah dan 567 disabitkan di mahkamah,” menurut jawapan itu.
Beliau memaklumkan perkara itu bagi menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang bertanyakan jumlah kakitangan kerajaan ditangkap dan dituduh bagi kesalahan melibatkan rasuah daripada 2015 sehingga sekarang.
-- BERNAMA
PERLEMBAGAAN TIDAK HALANG MENTERI DILANTIK PEGUAM NEGARA
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang anggota Jemaah Menteri untuk dilantik sebagai Peguam Negara sekiranya calon itu memenuhi prasyarat kelayakan hakim Mahkamah Pesekutuan di bawah Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata berdasarkan Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan, antara syarat kelayakan untuk dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi adalah warganegara.
Setakat ini dua anggota Jemaah Menteri pernah dilantik sebagai Peguam Negara iaitu Tan Sri Abdul Kadir Yusof (1963-1977) dan Tan Sri Hamzah Abu Samah (1977-1980), katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) mengenai pembaharuan yang akan diadakan di Pejabat Peguam Negara (AGC) dan sama ada kerajaan akan memisahkan peranan Peguam Negara dengan peranan Pendakwa Raya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial