AM

Bernama ungguli Anugerah Media MSOSH 2021

25/11/2021 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengungguli Anugerah Media Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) hari ini.

Pada majlis itu, Penolong Editor Meja Rencana Erda Khursyiah Basir dan dua wartawan meja itu Balkhis Awang dan Muhammad Basir Roslan membolot tiga tempat teratas untuk kategori Media Cetak dan Portal Berita.

Balkhis memenangi tempat pertama dengan rencana bertajuk 'Hukuman Lebih Berat Bela Pekerja Kemalangan Di Tempat Kerja', Erda Khursyiah di tempat kedua dengan rencana 'Trauma COVID-19: Apa Peranan Pekerja, Majikan?' dan tempat ketiga diraih Muhammad Basir menerusi rencana bertajuk 'Kluster Tempat Kerja: Ingkar SOP Perlu Hukuman Lebih Berat’.

Penerbit Berita Bernama Radio Sri Wazni Asahar dan Wan Shairil Azmir Wan Sharifuddin pula merangkul tempat kedua untuk program temu bual bertajuk ‘COVID-19: Selamatkah Tempat Kerja Anda?’ bagi kategori Media Penyiaran Radio dan Radio Dalam Talian. 

Bagi kedua-dua kategori itu, juara membawa pulang RM2,500, tempat kedua RM1,500 manakala tempat ketiga RM1,000. 

Anugerah media itu merupakan sebahagian daripada majlis Anugerah MSOSH ke-39 yang memberi pengiktirafan kepada profesional, industri serta media bagi program audit dan isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang melibatkan penyertaan sebanyak 211 organisasi. 

Ia turut disiarkan secara maya dan boleh ditonton melalui laman Facebook dan YouTube rasmi persatuan itu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim dalam ucapan perasmian beliau pada majlis itu berkata usaha mempromosi agenda KKP melalui pelbagai medium mampu meningkatkan kesedaran orang awam mengenai isu berkenaan dengan lebih baik dan menyeluruh.

Katanya, agenda KKP merupakan antara agenda utama kerajaan.

“Seperti yang digariskan dalam Polisi KKP Nasional, kerajaan komited untuk terus mendukung usaha memperkasa keselamatan dan kesihatan pekerja, sama ada di tempat kerja atau di kawasan umum,” katanya.

Beliau menambah, majikan dan organisasi daripada sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta termasuk industri kecil dan sederhana harus bersama-sama mendukung hasrat kerajaan untuk membawa agenda pemerkasaan KKP ke seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan