EKONOMI

Petronas Dagangan, Mercedes-Benz, EVC meterai MOU tempatkan pengecas EV DC di stesen Petronas pada separuh pertama 2022

25/11/2021 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Petronas Dagangan Bhd (PDB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd dan EV Connection Sdn Bhd (EVC), pengendali rangkaian JomCharge di Malaysia, untuk menempatkan pengecas pantas kenderaan elektrik (EV) arus terus (DC) di stesen Petronas menjelang separuh pertama 2022.

PDB dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, perkongsian strategik itu bertujuan untuk menangani masalah kekurangan pengecas pantas bagi pemandu kenderaan elektrik di Malaysia. 

Menerusi kerjasama ini, PDB merancang memasang secara strategik pengecas pantas di lima stesen Petronas dalam fasa perintis, bagi membolehkan liputan menyeluruh antara Lebuh Raya Utara Selatan dan sebahagian daripada Lebuh Raya Pantai Timur. 

Naib Presiden Pemasaran Petronas Ahmad Adly Alias berkata melalui perkongsian ini, pengecas pantas akan disediakan di lokasi strategik dengan memanfaatkan rangkaian meluas stesen Petronas bagi memberi kemudahan kepada pelanggan. 

"Kami melihat pelaburan dalam kemudahan pengecasan kenderaan elektrik ini sebagai satu langkah yang perlu untuk menggalakkan penerimagunaan kenderaan elektrik di Malaysia,” katanya. 

Kerjasama tiga pihak ini juga selaras dengan strategi bersiap siaga PDB memandangkan peralihan kepada mobiliti lebih bersih yang tidak dapat dielakkan pada masa depan, katanya. 

Sementara itu, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Michael Jopp berkata tahun 2022 menandakan bermulanya strategi agresif model Mercedes-EQ. 

Beliau berkata Mercedes-Benz Malaysia akan memperkenalkan pelbagai model kenderaan elektrik premium bagi bersiap sedia dengan peralihan mobiliti pada masa depan, sejajar dengan strategi global Mercedes-Benz untuk mengeluarkan semua kenderaan elektrik menjelang akhir dekad ini sekiranya keadaan pasaran mengizinkan.

"Oleh itu, kami komited sepenuhnya untuk melabur dalam infrastruktur tempatan kita bersama dengan PDB dan EVC untuk menggalakkan penerimagunaan kenderaan elektrik dalam kalangan pemandu di Malaysia,” kata Jopp.

Pengarah Urusan EVC Lee Yuen How berkata berikutan dasar yang jelas dan sokongan daripada kerajaan dalam Bajet 2022, syarikat itu percaya tahun depan akan menjadi titik permulaan bagi penerimagunaan kenderaan elektrik di Malaysia. 

"Kerjasama tiga pihak ini merupakan satu langkah penting bagi menyokong Malaysia dalam peralihan kepada kenderaan elektrik sebagai sebahagian daripada Rangka Tindakan Mobiliti Karbon Rendah (LCMB) kita,” kata Lee. 

EVC membekal dan memasang lebih 800 unit pengecas kenderaan elektrik dan ketika ini ia memiliki rangkaian terbesar pengecas pantas di bawah rangkaian JomCharge. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan