KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Hextar Global Bhd, Rubberex Corporation (M) Bhd dan Pekat Group Bhd telah bekerjasama menggalakkan sistem solar fotovoltan (PV) sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan pelepasan karbon.
Kerjasama itu merupakan langkah signifikan syarikat-syarikat berkenaan melalui projek inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bersama, untuk menyumbang sistem kuasa solar yang komprehensif kepada Hospital Tung Shin bagi mengurangkan bil elektrik dan jejak karbon.
Melalui projek inisiatif ESG, syarikat itu akan menyumbang, mereka bentuk, membekalkan dan memasang sistem PV tersambung grid kegunaan kendiri 154.44 kilowatt peak (kWp).
Ketua Pegawai Eksekutif Hextar Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata melalui kepakaran syarikat itu dalam kimia agro dan penyelesaian tenaga lestari, ia dapat memainkan peranan penting untuk membantu hospital berkenaan.
“Kami yakin penglibatan kami dalam projek ini pastinya akan banyak membantu hospital mengurangkan kos elektrik dan menggunakan dana tersebut untuk membantu masyarakat,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Pekat Chin Soo Mau berkata sistem solar PV bernilai RM445,000 itu akan membolehkan hospital berkenaan mengurangkan bil elektrik dengan anggaran penjimatan sebanyak RM2.5 juta dalam tempoh 25 tahun.
“Kita tahu projek ini mempunyai masa depan yang cerah dan membantu hospital merendahkan penggunaan elektrik dan memanfaatkan penjimatan dana yang amat diperlukan itu dalam membantu masyarakat,” katanya.
Berikutan ruang bumbung yang terhad di hospital itu, hanya sistem solar PV 154.44 kWp boleh dipasang yang dijangka menjana sehingga 199,000kWh unit elektrik setahun, di samping mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 138.16 tan setahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial