SUKAN

Liew Daren tersingkir awal di Terbuka Indonesia

24/11/2021 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov -- Tuah masih tidak menyebelahi pemain badminton veteran perseorangan negara, Liew Daren setelah beliau ditundukkan pemain tuan rumah Jonatan Christie dalam pusingan pembukaan Terbuka Indonesia 2021, di Bali hari ini.

Jonatan, pemain pilihan keenam kejohanan menumpaskan Daren  21-14, 21-15, untuk mara ke pusingan kedua bertemu rakan senegara Chico Aura Dwi Wardoyo esok, yang mengalahkan  Henrikho Kho Wibowo juga dari Indonesia,  21-11, 21-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Nusa Dua.

Liew sebelum ini terkandas lapan kali di awal pertandingan daripada sembilan kejohanan musim ini dengan pencapaian terbaiknya ialah mara ke suku akhir Terbuka Thailand, Januari lepas.

Sementara itu, beregu wanita negara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien bangkit daripada ketinggalan setelah tewas 15-21 dalam set pertama sebelum menumpaskan beregu Indonesia Melani Mamahit-Tryola Nadia, 21-8 dan 21-10 dalam dua set seterusnya.

Vivian-Chiew Sien akan berdepan beregu pilihan ketiga dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dalam perlawanan seterusnya yang sebelum ini memperoleh bai dalam pusingan pertama.

Satu lagi beregu wanita negara, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen terpaksa bertarung selama satu jam 19 minit sebelum dapat menewaskan gandingan  Alexandra Boje-Mette Poulsen dari  Denmark, 21-12, 19-21, 26-24.

Beregu wanita pilihan kelima,  Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva menanti Meng Yean-Cheng Wen dalam pusingan seterusnya selepas gandingan Bulgaria itu terdahulu mengalahkan Ashwini Ponnappa-Reddy N Sikki dari India, 29-27, 21-18. 

Cabaran beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See di dalam kejohanan ini berakhir setelah tumpas kepada pasangan pilihan ketiga dari Jepun  Yuta Watanabe-Arisa Higashino, 18-21, 12-21.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan