BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 EKONOMI

Penyumberluaran pelaksanaan projek AES kepada syarikat swasta tidak wajar - PAC

23/11/2021 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov  -- Pelaksanaan projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) secara penyumberluaran kepada syarikat swasta bagi penguatkuasaan trafik adalah tidak wajar dan sepatutnya dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) PAC Wong Kah Woh berkata perkara itu merupakan antara rumusan dibuat PAC hasil daripada prosiding berhubung projek AES di bawah Kementerian Pengangkutan yang bermula pada 16 Nov 2020.

Beliau berkata pandangan oleh Jawatankuasa Projek AES yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu supaya projek berkenaan dilaksanakan sendiri kerajaan tidak diambil kira.

Selain itu, katanya arahan kerajaan pada 2014 untuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil alih syarikat konsesi ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd merupakan satu tindakan ‘bailout’ (menyelamat) secara tidak langsung oleh kerajaan.

“Kos pengambilalihan oleh LTAT berjumlah RM555 juta adalah keterlaluan dan sangat tinggi. Nilai tersebut tidak mengikuti hasil ‘due diligence’ (kaedah penilaian wajar) yang dilaksanakan KPMG (syarikat audit) yang mana nilai maksimum adalah RM251 juta sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PAC juga merumuskan terma kontrak khasnya berkaitan fi perkhidmatan yang harus dibayar kepada syarikat konsesi tidak memihak malah merugikan kerajaan sementara jumlah bayaran pampasan kerajaan pada 2019 kepada LTAT adalah RM668.9 juta.

Justeru, PAC mengesyorkan kepada kerajaan supaya memastikan semua terma dalam mana-mana perjanjian konsesi tidak merugikan kerajaan.

Menurut Wong, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneliti semula dan membuat siasatan terhadap isu yang berbangkit dalam Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

Ini termasuk laporan PAC bagi melihat sama ada terdapat mana-mana individu yang terbabit dalam penerimaan ‘kick-back’ dalam proses pengambilalihan AES oleh LTAT, katanya.

Pada 2014, LTAT telah dijemput oleh kerajaan untuk mengambil alih projek AES daripada kedua-dua syarikat terbabit yang dianugerahkan projek itu pada mulanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan