KOTA KINABALU, 22 Nov -- Tawaran yang lebih baik untuk Sabah dan Sarawak sedang dibincang dengan kerajaan melalui Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) mengenai Geran Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata JCC itu, yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz, dijangka bermesyuarat secepat mungkin bagi membincangkan isu itu dengan lebih lanjut.
Beliau berkata semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), semakan kewangan dan geran tahunan di bawah Perkara 112D serta pembayaran balik 40 peratus pendapatan dan hasil yang diperoleh dari Sabah telah diselesaikan namun kerajaan negeri menolak tawaran itu kerana formula PH tidak menjelaskan bagaimana mereka memperoleh jumlah itu.
"Sarawak turut menolak formula PH atas alasan yang sama. Kedua-dua negeri ingin tahu bagaimana formula itu diperoleh dan sama ada ia menggambarkan jumlah yang betul untuk apa yang harus dibayar kepada Sabah serta Sarawak.
"Sabah mahupun Sarawak juga inginkan satu formula yang telus, selaras dengan apa yang seharusnya dibayar kepada kedua-dua negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan," menurut Ongkili dalam kenyataan malam ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial