ALOR GAJAH, 21 Nov -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan khabar angin bahawa terdapat tentangan terhadap pelantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.
Beliau berkata, kesemua ketua-ketua bahagian parti itu di negeri ini sebulat suara menyokong penuh pelantikan itu sebagaimana dinyatakan sebelum ini.
''Saya ingin maklumkan bahawa kami tiada masalah, kita telah bersama-sama mendapat kerajaan yang stabil. Oleh itu saya menolak yang kononnya ada kemelut antara kami yang menentang Ketua Menteri sedia ada
''Kesemua kami (ketua-ketua bahagian), termasuklah saya selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO akan berikan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka,'' katanya pada sidang media di sini malam ini.
Beliau juga menegaskan lantikan Sulaiman menunjukkan kepercayaan rakyat Melaka dengan kerjasama semua Ketua-ketua Bahagian UMNO untuk memastikan selepas ini mereka bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
''Fokus kini adalah berhubung pentadbiran kerajaan negeri yang baharu dan kami tiada masalah kerana kita telah mendapat sebuah kerajaan yang stabil,'' katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti itu sama ada mahu menggunakan model parti itu pada PRU-15 sehingga membawa kejayaan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Katanya, penampilan 86 peratus muka baharu dalam PRN kali ini terbukti membuahkan hasil apabila rakyat dan pucuk pimpinan BN dapat menerima formula itu dan diterjemahkan melalui keputusan PRN semalam.
Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri awal pagi tadi selepas Barisan Nasional berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu.
Sementara itu Sulaiman berkata tidak salah bagi beliau untuk mengangkat sumpah dengan segera awal pagi tadi bagi membolehkan beliau memulakan tugas rasminya sebagai Ketua Menteri yang perlu menghadiri beberapa mesyuarat penting.
Antaranya ialah Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri selain persiapan untuk pembentangan Belanjawan Negeri Melaka 2022.
''Jadi tidak salah kalau saya angkat sumpah malam tadi (awal pagi tadi) supaya saya dapat lakukan tugas dengan lebih awal,'' katanya pada sidang media itu di sini malam ini.
Mengulas mengenai pembentukan Exco Kerajaan Negeri,beliau berkata kombinasi kepakaran dan latar belakang pendidikan seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menjadi asas pemilihan, selaras dengan kedudukan portfolio mereka nanti.
''Ini antaranya akan memastikan tugas dan tanggungjawab manifesto kerajaan dapat diselesaikan serta ditunaikan,'' katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial