POLITIK

Tewas PRN Melaka, Pengerusi DAP negeri letak jawatan

21/11/2021 07:25 PM

MELAKA, 21 Nov -- Pengerusi DAP Melaka Datuk Tey Kok Kiew mengumumkan peletakan jawatannya selepas parti itu hanya menang empat daripada lapan kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.

Sambil meminta maaf kepada ahli DAP, Tey berkata keputusan meletakkan jawatan dibuat atas dasar bertanggungjawab terhadap keputusan PRN itu . 

Beliau berkata surat peletakan jawatan akan diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng esok.

''Ini adalah keputusan peribadi saya dan saya mahu memohon maaf kepada ahli DAP, rakan seperjuangan DAP dan penyokong kerana tidak mencapai sasaran yang diharapkan," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Tey berkata walaupun meletak jawatan, beliau kekal sebagai ahli DAP dan berharap ahli lain terus memberi sokongan terhadap perjuangan parti itu di Melaka. 

Pada PRN Melaka semalam, DAP hanya menang empat daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Tey juga tewas kepada calon Perikatan Nasional Dr Mohd Yadzil Yaakub di DUN Bemban yang memperoleh 4,211 undi dengan undi majoriti 328.  

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan