DUNIA

Lebih banyak negara asing mula buka kedutaan di Afghanistan - Amir Khan

20/11/2021 04:13 PM

Oleh Muhammad Afiff Md Adnan

KABUL (Afghanistan), 20 Nov -- Lebih banyak kedutaan asing bakal dibuka di Afghanistan, kata Menteri Luar Negeri Amir Khan Mutaqqi.

Katanya, ini menunjukkan kerajaan baharu yang diterajui Taliban itu mula mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata antara negara yang akan membuka kedutaan mereka di Afghanistan termasuk Turki, Itali dan terbaharu Jerman yang juga merupakan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). 

“Kebanyakkan negara misalnya Pakistan, Turkmenistan, Kazakhstan dan Iran sudah mula membuka kedutaan mereka (di sini).

"Sementara Jerman turut disahkan akan membukanya (kedutaan) dalam minggu ini," katanya kepada Bernama menerusi penterjemah bahasa ketika ditemui di pejabatnya di sini. 

Amir Khan berkata pihaknya turut mengalu-alukan Malaysia untuk menimbang bagi membuka kedutaannya di  Afghanistan. 

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India turut ditauliahkan ke Afghanistan buat masa ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihaknya memutuskan untuk mengekalkan Dr Moheb Rahman Spinghar sebagai Duta Afghanistan ke Malaysia. 

Wartawan Bernama yang kini berada di Kabul, merupakan satu daripada 13 peserta yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) ke bumi Afghanistan sejak negara itu di ambil alih Taliban pada 15 Aug lepas ia setelah menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani, susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun mendudukinya. 

Setakat ini, kerajaan Malaysia masih mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan sebelum mengiktiraf kerajaan baharu Afghanistan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan