AM

KBBM: Program My Gaya Month lepasi sasaran jualan, jana lebih RM400,000

19/11/2021 04:25 PM

PUTRAJAYA, 19 Nov -- Program My Gaya Month yang diperkenalkan bagi merancakkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dengan menampilkan koleksi pereka fesyen tempatan berjaya melepasi sasaran jualan sebanyak RM250,000 apabila merekodkan hasil lebih RM400,000 sepanjang kempen berlangsung.

Program yang melabuhkan tirainya hari ini sejak bermula pada 18 Okt lepas bagi mengetengahkan bakat fesyen tempatan serta menggalakkan rakyat Malaysia menyokong KBBM dianjurkan Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Presiden MBDA Rasta Rashid berkata penyertaan My Gaya Month mestilah merupakan syarikat tempatan dan produk yang dihasilkan menggunakan 90 peratus barangan buatan Malaysia.

"My Gaya Month yang julung kali diperkenalkan ini telah memberi impak positif kepada pemain industri yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program My Gaya Month The Finale di sini hari ini.

Program berkenaan menampilkan 30 pereka tempatan bersama koleksi terbaharu mereka yang direka khas sempena kempen, meliputi aksesori buatan tangan, pakaian tradisional dan pakaian sukan.

Antara jenama fesyen yang terlibat ialah Anas Abdullah, Bon Zainal, Dimu Designs dan Tradisi by Fashion Hub.

Koleksi pereka berkenaan turut dijual melalui platform e-dagang seperti Fashion Hub by MBDA, Shopee, Lazada, Aladdin1 dan Zalora.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad ketika berucap pada majlis penutup program berkenaan berkata inisiatif seperti My Gaya Month perlu digalakkan kerana kejayaannya dilaporkan telah menarik minat peruncit tempatan seperti Metrojaya dan Al Ikhsan untuk menjalinkan kerjasama.

Pada majlis penutup itu turut dipersembahkan pertunjukan fesyen secara tayangan video yang menampilkan koleksi kesemua 30 pereka tempatan.

Jenama Carro, Batek by Rasta Rashid dan Anas Abdullah pula memenangi Anugerah Pereka pada program sama.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan