KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Persidangan Perniagaan ASEAN-Selangor (SABC) 2021 berperanan sebagai platform ideal bagi membina hubungan dengan kalangan pemain utama perniagaan dan ekonomi, khususnya di rantau ASEAN ketika negara dan perniagaan berusaha memulihkan ekonomi.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau juga berharap agar anggota komuniti ASEAN akan saling bekerjasama untuk mewujudkan ekosistem ekonomi lebih hebat dan berdaya tahan.
“Biarpun rantau ASEAN mencatat peningkatan ekonomi ketara dalam beberapa tahun lepas walaupun turut terjejas akibat pandemik COVID-19, kita masih belum mencapai potensi penuh rantau ini.
“Oleh itu, saya berharap waktu anda di persidangan tahun ini akan membuahkan hasil yang dapat menyumbang kepada matlamat lebih besar untuk mewujudkan ekonomi ASEAN yang kukuh,” katanya ketika merasmikan pembukaan SABC 2021 edisi kelima, hari ini.
SABC 2021 yang bertemakan ‘Mengekalkan Pertumbuhan Dalam ASEAN Menerusi Inovasi’ (Sustaining Growth within ASEAN through Innovation), diadakan bersempena penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2021 (SIBS 2021) bermula 18-21 November.
Amirudin berkata keluaran dalam negara kasar (KDNK) rantau ASEAN telah melonjak sejak beberapa tahun lepas yang turut menggambarkan kepesatan ekonomi rantau itu.
Pada 2020, anggaran jumlah KDNK kesemua negara-negara ASEAN berjumlah kira-kira US$3.08 trilion yang merupakan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Menurutnya, Selangor yang juga negeri paling maju dengan ekonomi terbesar di Malaysia, juga secara konsisten menyumbang lebih 20 peratus kepada KDNK Malaysia sejak bertahun lamanya manakala sebilangan besar syarikat multinasional turut berpangkalan di negeri itu.
“Kejayaan ini adalah adalah hasil daripada daya usaha serta kegigihan rakyat Selangor yang mempunyai nilai-nilai kukuh serta wawasan untuk memajukan diri,” katanya.
Sementara itu, Exco Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata negeri itu menyasarkan untuk mentransformasi Selangor sebagai sebuah hab dagangan global dengan penekanan menjadi pintu masuk ke pasaran ASEAN yang didiami lebih 640 juta orang dan menempatkan kira-kira 200 syarikat terbesar di dunia.
“Selangor adalah kuasa ekonomi Malaysia dengan sumbangan konsisten lebih 20 peratus kepada KDNK dan pertumbuhan yang melepasi purata nasional setiap tahun.
“Rekod prestasi ini adalah bukti jelas mengapa Selangor masih menjadi destinasi pelaburan pilihan di Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap potensi Selangor untuk terus menawarkan nilai terbaik serta ideal sebagai lokasi pilihan bagi syarikat-syarikat yang berhasrat berkembang melangkaui Malaysia dan menembusi pasaran ASEAN.
“Walaupun sentiasa berusaha untuk menempatkan kedudukan di rantau ini serta menjadi pintu masuk ideal ke ASEAN, kita juga terus bersedia bagi menyokong perdagangan rentas sempadan dan kerjasama ekonomi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial