EKONOMI

Kerjasama Zurich Malaysia-Kenanga Investors tawar daya tahan kewangan kepada pelanggan

15/11/2021 03:43 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov -- Zurich Malaysia memperkenalkan ‘Zurich Takaful Shariah Edge Fund’ menerusi kerjasama dengan Kenanga Investors Bhd untuk menawarkan daya tahan kewangan kepada pelanggan.

Pengenalan ‘Zurich Takaful Shariah Edge Fund’ menjadikan pilihan dana kini berjumlah 10 untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.

Ia merupakan dana sokongan yang dilaburkan dalam ‘Kenanga Shariah Growth Opportunities Fund’ (KSGOF), satu dana pertumbuhan ekuiti Islam yang diuruskan secara aktif berasaskan disiplin kuantitatif dan kualitatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, Nazrul Hisham Abd Hamid berkata menerusi tindak balas terhadap keperluan pelanggan itu, pihaknya mahu menyediakan alat yang sesuai untuk pelanggan mencapai matlamat kewangan dan membangunkan portfolio mereka bagi menikmati masa depan yang lebih baik.

“Zurich Takaful Shariah Edge Fund ini menjadi satu lagi pilihan selain sembilan pilihan dana sedia ada kami, jadi pelanggan mempunyai fleksibiliti untuk memilih satu dana yang sesuai dengan matlamat pelaburan masing-masing,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata dana itu sesuai untuk pelabur dengan horizon pelaburan jangka sederhana dan panjang yang mencari peningkatan modal yang tinggi daripada sekuriti patuh syariah, memiliki toleransi risiko yang tinggi dan boleh menghadapi ketidaktentuan jangka pendek.

“Dana itu bertujuan mencapai peningkatan modal yang konsisten dalam jangka panjang dengan melabur terutamanya dalam sekuriti patuh syariah dengan prospek pertumbuhan positif,” katanya.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis berkata pihaknya giat menyokong minat yang semakin mendalam terhadap pelaburan bertanggungjawab sosial dan pelaburan Islam yang mencatatkan peningkatan permintaan semasa tempoh pascapandemik.

“Berlandaskan keperluan yang semakin meningkat untuk penyelesaian kewangan yang lebih sofistikated, saya yakin kerjasama ini akan melonjakkan pertukaran idea dan interaksi perniagaan sedia ada antara kedua-dua institusi untuk menawarkan penyelesaian kewangan inovatif yang akan dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan