PUTRAJAYA, 14 Nov -- Sistem penyimpanan air bawah tanah perlu diwujudkan untuk kesinambungan sumber air agar industri padi dan beras kekal produktif serta efisien sekiranya berdepan krisis bekalan air pada masa depan sekali gus menjamin keselamatan makanan negara.
Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Azman Mahmood berkata sistem pengairan diamalkan sekarang hanya bergantung kepada air hujan atau empangan sedia ada, namun kaedah ini perlu ditukar dalam menghadapi cabaran krisis air yang bukan sahaja dikhuatiri terjadi di Malaysia malah peringkat global.
Beliau berkata industri padi dan beras perlu dimodenkan dengan teknologi digital seperti penggunaan tablet dan dron untuk pengurusan dan pengawalan air di sawah yang dilihat bukan sahaja memastikan padi dan beras negara mendapat hasil optimum malah menjamin keselamatan makanan serta nasib pesawah yang menjadikan aktiviti pertanian sebagai sara diri.
"Selain baja dan penggunaan teknologi moden, air adalah faktor utama dalam pengurusan sawah. Tidak cukup air maka wujud penyakit dan padi angin yang menyebabkan hasil petani merosot serta-merta. Ini menjadi kerisauan 300,000 pesawah di seluruh negara. Oleh demikian, kaedah Rice Check yang betul dari segi penggunaan baja, air dan teknologi perlu diseragamkan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Azman berkata sistem penyimpanan air bawah tanah yang dipraktikkan di negara seperti Australia dan Jepun telah membuktikan kaedah itu berkesan dalam mengurangkan kerugian, memberi hasil berterusan dan mampan malah turut mendorong penglibatan anak muda dalam sektor pertanian.
Sebagai permulaan, beliau berkata beberapa negeri seperti di Kedah, Perak dan Pahang boleh dipilih sebagai tapak projek rintis untuk melaksanakan pembinaan sistem penyimpanan air bawah tanah kerana mempunyai lebihan air yang terpaksa dilepaskan ke laut.
"Contohnya Rompin di Pahang yang tiada masalah sumber air. Jadi penting untuk mewujudkan sistem penyimpanan air bawah tanah bagi menyimpan lebihan air dan menggunakan sumber itu ketika diperlukan pada waktu tertentu. Saya yakin dalam tempoh 10 tahun akan datang, Malaysia terlibat dalam kaedah ini kerana sumber air semakin terhad," katanya.
Beliau berkata infrastruktur bagi projek simpanan air bawah tanah itu boleh dilaksanakan secara berperingkat menggunakan 20 peratus daripada RM1.53 bilion yang diperuntukkan kerajaan bagi program bantuan subsidi dan insentif kepada pengusaha tanaman padi sebagai dorongan mencuba teknologi baharu dalam pengurusan dan pengawalan air.
"Jika kita mengubah kaedah konvensional kepada moden dengan menggunakan 20 peratus daripada peruntukan untuk industri padi dan beras, kita jangkakan dalam 10 tahun akan ada sistem sendiri. Bayangkan pesawah hanya menggunakan peranti tablet dan dron untuk mengurus dan mengawal air bagi tanaman masing-masing, ia begitu mudah dan efisen," katanya.
Mengambil Australia sebagai contoh, beliau berkata lebihan air daripada banjir diserap ke bawah tanah dan disimpan untuk industri tanaman atau kegunaan ketika musim kering.
"Contoh di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 2019 yang menghadapi krisis air kemuncak. Perkara ini akan berulang di tempat lain. Jika penyimpanan air bawah tanah maka pengurusan padi tidak terjejas dan menyelamatkan lebih banyak jelapang untuk penyelesaian jangka masa panjang," katanya.
Azman berkata pihaknya akan menjemput kepakaran yang ada di Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk berbincang mengenai hala tuju pelaksanaan sistem penggunaan air bawah tanah serta pembinaan penyimpanan di kawasan sawah dan jelapang mulai tahun depan bagi memperkenalkan kaedah itu dalam usaha seiring dengan revolusi industri 4.0 (IR4.0)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial