LAWAS, 13 Nov -- Penganugerahan darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) kepada Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini adalah pengiktirafan dan penghormatan terbesar bagi Sarawak.
Timbalannya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri itu membanggakan seluruh kepimpinan kerajaan negeri serta rakyat Sarawak.
"Ini pengiktirafan yang paling tinggi dan mudah-mudahan ia dapat memberi semangat yang lebih kepada kerajaan negeri untuk terus mencapai lebih banyak lagi kejayaan.
"Diharapkan juga ia mampu menjadikan kerajaan negeri dan Sarawak terus cemerlang secara keseluruhannya di bawah pimpinan Ketua Menteri (Abang Johari)," katanya kepada Bernama semasa merakamkan ucapan tahniah kerajaan Sarawak kepada Abang Johari.
Awang Tengah ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat Dewan Undangan Negeri Bukit Sari, di Lawas hari ini.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menerima darjah kebesaran berkenaan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut menerima darjah kebesaran sama pada istiadat yang berlangsung di Istana Negara hari ini ialah Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Selain itu, seramai 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan untuk 2021 manakala beberapa individu adalah penerima bagi 2020.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial