KUCHING, 4 Nov -- Perkhidmatan bas ekspres dan bas berhenti-henti di Sarawak dibenar beroperasi pada kapasiti 100 peratus tempat duduk penumpang mulai esok, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
JPBN Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan saranan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) setelah mengambil kira kadar vaksinasi COVID-19 yang tinggi dan menyeluruh di negeri ini.
“Pengusaha syarikat bas ekspres dan bas berhenti-henti serta penumpang juga diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JPBNS seperti penggunaan pelitup muka, imbas suhu dan Kod QR MySejahtera,” menurut JPBN.
Selain itu, JPBN memaklumkan hanya 11 daripada 527 kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan di Sarawak hari ini mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan.
“Baki 516 kes lagi adalah mereka yang tidak bergejala dan bergejala ringan. Pertambahan kes hari ini juga menjadikan kumulatif kes positif di Sarawak kini 243,119,” menurut JPBN.
Selain itu, 19 kematian akibat COVID-19 direkodkan di Sarawak dari 6 Okt sehingga 2 Nov manakala jumlah kluster yang aktif sebanyak 27.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial