DUNIA

STATOS bantu peroleh perjanjian eksport untuk beras berwarna Sarawak

03/11/2021 09:23 PM

SINGAPURA, 3 Nov -- Singapura kini akan mempunyai akses kepada beras premium berwarna Sarawak menerusi penghantaran pertama 1.5 tan beras Kenyalang dan produk mihun telah sampai di Singapura beberapa hari lalu.

Pejabat Perdagangan Dan Pelancongan Sarawak-Singapura (STATOS) sebagai pemudah cara, inisiatif oleh kerajaan negeri Sarawak untuk mengukuhkan dan membangunkan hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan baharu dengan Singapura dan seluruh dunia.

Pengurus STATOS, Kenny Lau berkata ia telah mengambil masa dua tahun sejak kami mula mengenal pasti permintaan pasaran yang kukuh untuk beras organik yang sihat semasa ekspo perdagangan STATOS yang diadakan di republik itu.

“Sejak itu, kami telah membantu Antares Ventures untuk mendapatkan lesen eksport dan memperkenalkan mereka kepada Bountiful Harvest, sebuah syarikat milik Sarawak yang berpangkalan di Singapura, ia akan bertindak sebagai pengedar dalam pasaran tempatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Rangkaian beras premium yang dipilih untuk pasaran Singapura berasal dari Lubok, Nibong, Simunjan dan tanah tinggi Bario di Sarawak, ia dihasilkan menggunakan kaedah pertanian tradisional.

Bountiful Harvest akan memberi tumpuan kepada beras perang Bario, beras ungu Sarawak (Bali Keladi), beras merah dan beras hitam serta produk mihun.

Beras Sarawak mendapat warna luar biasa daripada antosianin semulajadi yang tinggi dengan antioksidan dan kaya dengan nutrien.

Pengarah Urusan Antares Ventures, Brendon Kon berkata syarikat itu mengumpul dan mengedarkan beras yang ditanam oleh suku kaum Kelabit, Lun Bawang, Bidayuh dan Iban.

“Diharapkan dengan membuka pasaran baharu, kami dapat membolehkan pengeluar tempatan meningkatkan pengeluaran mereka yang kini terhad kepada sekitar 500 tan setahun.

“Produk Kenyalang ini akan dipromosikan sebagai beras premium dan bewarna yang sihat dengan harga indikatif sehingga SD$15 sekilo,” katanya.

Setakat ini, tiga jenis beras Sarawak telah dilabel dan diperakui secara rasmi sebagai petunjuk geografi kerana ciri uniknya yang bermaksud ia diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai produk premium edisi terhad.

STATOS yang mula beroperasi pada Jun 2019 menyediakan khidmat nasihat kepada peniaga termasuk pengimport dari Singapura dan pengeksport dari Sarawak serta pelabur dan penggiat pelancongan yang mahu mengambil peluang daripada kedudukan Singapura sebagai pintu masuk ekonomi serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan