AM

Lebih 70 peratus responden kajian UCSI sedia terima dos penggalak

03/11/2021 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Sebanyak 71.4 peratus daripada 1,075 responden dalam kajian mengenai penerimaan rakyat di negara ini terhadap dos penggalak vaksin COVID-19 bersedia menerima dos berkenaan, menurut Pusat Penyelidikan Undian UCSI.

UCSI dalam kenyataan hari ini berkata hasil kajian itu turut mendapati 18.4 peratus daripada keseluruhan responden terbabit tidak pasti sama ada ingin menerima dos penggalak manakala 10.2 peratus memilih untuk menolak suntikan berkenaan.

“Kaji selidik ini menunjukkan tahap penerimaan orang awam terhadap dos penggalak adalah tinggi (71.4 peratus) dengan alasan utama, mereka berasa lebih selamat dengan menerima dos ketiga itu.

Sementara, bagi mereka yang tidak pasti dan menolak untuk menerima dos penggalak ini, sebahagian besarnya kerana tidak pasti dengan kesan selepas menerima suntikan tersebut,” menurut kajian itu.

Maklum balas lain diberikan responden yang memilih untuk suntikan dos penggalak, antaranya kerana percaya dan patuh arahan kerajaan serta mudah diserang COVID-19.

“Alasan memilih ‘tidak’ dan ‘tidak pasti’ antaranya risau sekiranya ada sebarang komplikasi selepas suntikan dos penggalak, berasa cukup selamat dengan dua dos suntikan serta tidak memiliki pengalaman baik ketika proses vaksinasi,” menurut kajian itu.

Dalam pada itu, kajian berkenaan berpendapat dos penggalak mungkin dilihat sebagai perlindungan tambahan daripada COVID-19 dan membolehkan orang awam menjalani kehidupan seharian dengan lebih yakin.

“Kebimbangan orang awam terhadap komplikasi selepas menerima dos penggalak tidak sepatutnya tidak diendahkan dan sebarang maklumat yang komprehensif, potensi mahupun statistik kes komplikasi perlu didedahkan kepada umum supaya mereka dapat membuat keputusan terhadap pengambilan dos penggalak,” menurut kajian itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan