KUCHING, 31 Okt -- Satu upacara memberi penghormatan terakhir buat Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing yang meninggal dunia pagi tadi, akan diadakan pada Rabu.
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan upacara tersebut diadakan di Association of Churches in Sarawak, Jalan Stampin di sini.
“Sesi untuk orang kenamaan adalah pada 8.30 hingga 9.30 pagi diikuti sesi untuk orang awam mulai 9.30 pagi hingga 2 petang.
“Orang ramai yang datang dinasihat berpakaian kemas dan juga dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan Rapid Test Kit (RTK) COVID-19,” menurut kenyataan itu.
Menurut UKAS, mendiang Masing meninggal akibat komplikasi jantung dan ujian COVID-19 beliau yang terakhir adalah negatif.
“Jenazah akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Kuching, selepas selesai upacara penghormatan terakhir,” menurut UKAS.
Masing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching pada 7.05 pagi. Beliau berusia 72 tahun.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak pada September selepas disahkan positif COVID-19 dan kemudian dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial