EKONOMI

Malaysia di landasan tepat bagi integrasi elemen digital ke dalam ekonomi

29/10/2021 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia berada di landasan yang tepat bagi merealisasikan aspirasi untuk mengintegrasikan elemen digital ke dalam ekonomi negara sejajar dengan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang mengguna pakai teknologi digital secara meluas.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Jumaat, ekonomi digital dipacu oleh sektor e-dagang yang kukuh meliputi peruncitan dalam talian, penggunaan peranti berkaitan Internet serta pelaburan teknologi maklumat dan telekomunikasi oleh sektor awam dan swasta.

"Dari sudut permintaan, pendigitalan akan meningkatkan penggunaan dengan bantuan platform dalam talian, manakala dari sudut penawaran, pendigitalan akan mengubah cara syarikat beroperasi, terutamanya dengan membolehkan kerja secara jarak jauh, meningkatkan penyimpanan data dan menambah baik perkongsian maklumat," jelasnya.

Peningkatan penggunaan perkhidmatan digital di Malaysia telah membawa kepada penggunaan perkhidmatan e-pembayaran, peningkatan perniagaan dalam talian, peningkatan perkhidmatan platform digital dan pekerja gig, serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas.

Menurut laporan itu, kekurangan infrastruktur Internet terutama di kawasan pedalaman menyebabkan wujudnya golongan tidak celik digital dan menghadkan penglibatan masyarakat dalam ekonomi digital.

“Capaian Internet yang tidak mampu milik terutama oleh golongan mudah terjejas B40 dan pekerja yang diberhentikan kerja turut menghalang penglibatan masyarakat dalam ekonomi digital.

"Walaupun pendigitalan boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang inovatif dan produktif, namun peralihan ini juga boleh menyebabkan pengangguran dan penggantian pekerjaan, terutama bagi pekerja berkemahiran rendah," tambahnya.

Menurut laporan itu, sebagai tambahan kepada komitmen berterusan kerajaan untuk memacu transformasi pendigital di seluruh negara seperti inisiatif MyDigital, Go-eCommerce, MyDigitalmaker dan Global Online Workforce (GLOW), beberapa langkah dicadangkan untuk dilaksanakan bagi mempercepat penggunaan pendigital dalam ekonomi.

Langkah itu termasuk mendorong integrasi melalui ketersambungan pendigitalan serta menggalakkan penggunaan platform dan perkhidmatan dalam talian yang inovatif.

Cadangan lain ialah gesaan supaya menyokong pemulihan subsektor berorientasikan perkhidmatan melalui kaedah digital di samping mengkaji dasar dan peraturan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dan mesra perniagaan.

Menurut laporan itu, kesimpulannya, penggunaan teknologi digital seperti e-dagang, pembelajaran dalam talian dan bekerja secara jarak jauh telah mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan untuk terus maju serta membolehkan rakyat meningkatkan kesejahteraan.

"Walaupun proses pendigitalan berlaku dengan pantas, namun cabaran seperti ketersediaan digital dan ancaman keselamatan siber kekal wujud.

"Justeru, penyelarasan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12, inisiatif MyDIGITAL, Dasar 4IR Nasional dan lain-lain usaha kerajaan dapat memacu proses pendigitalan, penggunaan teknologi dan amalan keselamatan siber yang cekap," menurut laporan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan