SEPANG, 28 Okt -- Penyedia logistik global DHL Express merancang untuk melabur kira-kira RM200 juta bagi pembinaan gerbang laluan penyisihan automatik sepenuhnya yang pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjelang suku pertama 2023.
Terletak di Terminal Satu Kargo Udara KLIA (KACT1), pintu masuk seluas 13,422 meter persegi akan menjadi hampir tiga kali ganda saiz kemudahan semasanya di KLIA.
Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo berkata DHL Kuala Lumpur Gateway akan dilengkapi dengan teknologi canggih dan direka bentuk untuk kecekapan pemprosesan penghantaran yang optimum, termasuk sistem pendimensian dan penimbang berkelajuan tinggi.
"Kami telah menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah import dan eksport di Malaysia dan gerbang laluan penyisihan automatik sepenuhnya akan membolehkan kami menguruskan pertumbuhan dalam penghantaran dan jumlah bungkusan yang semakin meningkat," katanya pada majlis pecah tanah DHL Kuala Lumpur Gateway oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, di sini, hari ini.
Neo berkata kemudahan itu akan dilengkapi dengan sistem penyisihan automatik yang boleh mengendalikan 10,000 bungkusan sejam, 24 jam sehari, berbanding dengan 2,400 bungkusan sejam pada masa ini.
Gerbang laluan baharu itu akan mempunyai dua pesawat khusus yang terbang lima kali seminggu ke dan dari Hong Kong, dan empat kali seminggu ke dan dari Singapura.
Sementara itu, Isham berkata pelaburan oleh DHL Express, yang dijangka menjana banyak peluang pekerjaan, adalah tepat pada masanya kerana ia membuktikan keyakinan syarikat itu terhadap Malaysia.
Langkah itu juga bertepatan dengan usaha Kementerian Pengangkutan untuk menaik taraf Malaysia sebagai hab pengangkutan dan logistik di rantau ini menjelang 2025, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial