KOTA BHARU, 28 Okt -- Sekolah Lapangan Kemanusiaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) di Kandis, Bachok, dekat sini, yang bernilai RM1.6 juta dijangka dibuka awal tahun depan.
Pengerusi Persatuan BSMM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah berkata tanah bagi pembinaan sekolah lapangan berkenaan telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan sejak 10 tahun lepas.
Tunku Puteri Intan Safinaz yang merupakan Tunku Temenggong Kedah berkata sekolah lapangan itu akan dijadikan sebagai kem latihan bagi melaksanakan persiapan bencana, aktiviti perkhemahan dan sebagainya.
“Setakat ini hanya tinggal 10 peratus sahaja lagi pembinaan sekolah lapangan itu untuk siap sepenuhnya dan kita jangka tahun hadapan ia boleh dibuka,” katanya kepada media selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat BSMM Kelantan di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung BSMM Hakim Hamzah dan Pengerusi BSMM Kelantan Tuan Ghazali Tuan Long.
“Apabila dibuka nanti, ia bukan sahaja untuk kegunaan persatuan BSMM bahkan kita turut mengalu-alukan agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan sebagainya, memandangkan ia mampu memuatkan sehingga 300 orang,” katanya.
Mengulas lanjut Tunku Puteri Intan Safinaz berkata dengan adanya sekolah lapangan itu nanti ia juga sekali gus dapat memberi kemudahan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah dari negara Asia Pasifik termasuk Thailand dan Singapura.
“Kita juga berharap Bulan Sabit Merah dari negara-negara lain yang mungkin tiada fasiliti seperti ini untuk menggunakannya mengikut kehendak dan modul masing-masing termasuk melakukan senario bencana dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu Hakim berkata sebagai persediaan untuk menghadapi musim tengkujuh dan banjir, pihaknya telah mengadakan latihan khusus buat sukarelawan BSMM dari semasa ke semasa terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Malah beberapa kampung di negeri berkenaan juga telah dijadikan sebagai kampung angkat sejak kejadian banjir pada 2014, yang menyaksikan kita tempatkan bot di kampung berkenaan, dan penduduknya pula diberikan latihan untuk memberikan bantuan segera kepada mereka yang terkesan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial