EKONOMI

Pengeluar sarung tangan, HARPS batal cadangan IPO dan penyenaraian

28/10/2021 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt -- HARPS Holdings Bhd telah memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan Tawaran Awam Permulaan (IPO) dan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd memandangkan keadaan pasaran yang tidak memberangsangkan.

Pengeluar dan pengedar sarung tangan pemeriksaan nitril global itu dalam satu kenyataan menjelaskan IPO yang dicadangkan melibatkan penawaran sejumlah 2.6 bilion saham melalui penawaran institusi dan runcit, dijangka dibuat menjelang akhir 2021.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Haziq Zairel Oh berkata keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira maklum balas daripada proses penglibatan pelabur, khususnya, sentimen pelabur dan keraguan serta prospek terhadap sektor serta prospek sarung tangan Malaysia.

“Selepas mempertimbangkan secara teliti keutamaan semua pihak berkepentingan kami termasuk perbincangan dengan pemegang saham, lembaga pengarah, penasihat utama dan penyelaras global bersama kami, kami percaya bahawa ini adalah keputusan paling tepat untuk HARPS pada ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, syarikat itu akan terus mengekalkan pandangan positif terhadap masa depan HARPS dan menumpukan kepada usaha menjadikan syarikat sebagai peneraju pasaran dalam sektor sarung tangan.

HARPS akan meneruskan pelan pertumbuhannya termasuk untuk meningkatkan jumlah kapasiti terpasang tahunan kepada 19.5 bilion sarung tangan menjelang akhir 2023.

“HARPS akan terus mengekalkan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan telah menyediakan pelan hala tuju kelestarian bagi memastikan kami diselaraskan secara dalaman dengan matlamat kelestarian kami serta menyampaikan komitmen syarikat untuk mengekalkan prinsip ESG kami ke standard tertinggi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan