EKONOMI

ADB ulangi sokongan untuk tindak balas COVID-19, pemulihan ekonomi BIMP-EAGA

28/10/2021 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt -- Bank Pembangunan Asia (ADB) sekali lagi mengesahkan sokongannya untuk pemulihan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan kerjasama serantau yang pesat semasa Sidang Kemuncak Pemimpin Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-14 yang diadakan pada Khamis.

Presiden ADB, Masatsugu Asakawa berkata apabila dilanda kesukaran, tindakan yang diselaraskan akan membolehkan negara-negara mengharungi krisis dan bangkit untuk mencatatkan pemulihan yang kukuh dan bertahan.

“ADB menyokong kerja-kerja BIMP-EAGA, sejajar dengan pemulihan ASEAN, untuk mengekalkan pasaran terbuka, memperkukuh rantaian bekalan, menyokong zon ekonomi yang rancak dan menggalakkan penyepaduan digital,” katanya dalam kenyataan.

Sidang kemuncak itu dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia Joko Widodo dan Presiden Filipina Rodrigo Roa Duterte.

Sejak pandemik COVID-19 mula melanda, ADB telah menyediakan US$875 juta melalui Kemudahan Akses Vaksin Asia Pasifik untuk membantu Indonesia dan Filipina memperoleh dan memberikan vaksin yang selamat dan berkesan.

Ia menyediakan tambahan US$1.5 bilion kepada setiap negara dalam bentuk pinjaman segera untuk menyokong tindak balas COVID-19 mereka.

Sokongan ADB termasuk projek kesalinghubungan infrastruktur di lokasi penting bagi kerjasama serantau di Indonesia dan Filipina.

ADB juga bekerjasama dengan kerajaan BIMP-EAGA untuk mengenal pasti strategi pemulihan transformatif dan menguruskan kerjasama serantau berikutan krisis COVID-19.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan