BANGKOK, 27 Okt -- Kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 pada Selasa menyatakan kumpulan serantau itu berpendapat tumpuan Myanmar terhadap masalah dalamannya tidak sepatutnya menjejaskan proses membuat keputusan dan membina komuniti ASEAN.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan perkembangan terkini di Myanmar dan menyuarakan kebimbangan terhadap situasi di negara berkenaan, termasuk laporan mengenai kematian dan keganasan.
“Kami juga dapati terdapat gesaan supaya tahanan politik dibebaskan termasuk warga asing. Kami menyeru Myanmar untuk memenuhi komitmennya kepada Konsensus Lima Perkara Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada 24 April lepas," menurut kenyataan itu.
Walau apa pun, Myanmar kekal sebagai ahli keluarga ASEAN dan perlu diberi masa serta ruang politik untuk menangani pelbagai cabaran.
“Sehubungan itu, kami tetap komited untuk menyokong Myanmar dalam usahanya untuk kembali normal selaras dengan kemahuan rakyat Myanmar,” menurut kenyataan itu.
Sidang kemuncak yang bermula pada Isnin itu tanpa sebarang wakil dari Myanmar selepas ASEAN mengambil langkah berani untuk mengecualikan ketua junta Min Aung Hlaing kerana kegagalan negara itu mematuhi Konsensus Lima Perkara ASEAN.
Sambil menghormati prinsip tidak campur tangan, blok serantau itu menegaskan kembali pendiriannya menjunjung kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, prinsip demokrasi dan kerajaan berperlembagaan.
“Kami bersetuju untuk mengesahkan semula keputusan yang dicapai oleh Mesyuarat Tergempar Menteri-menteri Luar ASEAN (EAMM) pada 15 Okt lepas,” jelas kenyataan itu merujuk kepada keputusan EAMM bahawa pemimpin junta akan dikecualikan sebaliknya mengundang wakil bukan politik.
Kenyataan pengerusi turut memaklumkan blok itu mengalu-alukan usaha Duta Khas ASEAN Menteri Luar II Erywan Yusof dan menyeru semua pihak yang berkaitan di Myanmar untuk melaksanakan segera Konsensus Lima Perkara secara menyeluruh.
“Kami juga menyambut baik bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar, melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) dan sokongan berterusan rakan kongsi untuk usaha ASEAN melaksanakan Konsensus Lima Perkara,” menurut kenyataan itu.
ASEAN melalui Pusat AHA telah mengumpulkan sumbangan bernilai hampir US$8 juta, dalam bentuk ikrar kewangan dan bekalan perubatan.
Kumpulan serantau itu turut mengulangi sokongannya supaya ASEAN memainkan peranan lebih penting untuk menyokong Myanmar dengan menyediakan bantuan kemanusiaan, memudahkan proses penghantaran pulang dan menggalakkan pembangunan mampan di Rakhine.
“Kami menekankan kepentingan orang yang tersingkir dihantar pulang secara sukarela, selamat, terjamin dan bermaruah, selaras dengan perjanjian bilateral antara Myanmar dan Bangladesh untuk memudahkan proses penghantaran pulang.
“Kami turut sepakat mengenai pentingnya usaha untuk menangani punca konflik di Rakhine. Kami menghargai usaha Setiausaha Agung ASEAN, yang disokong oleh Pasukan Sokongan Ad Hoc Sekretariat ASEAN (AHAST), dalam mengetuai pelaksanaan saranan Penilaian Keperluan Awal (PNA) yang telah menunjukkan kemajuan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial