KUALA LUMPUR, 27 Okt -- Perjalanan Kedah Darul Aman (KDA) FC memburu slot ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2021 masih belum selamat meskipun saingan Kumpulan C dilihat semakin mudah selepas penarikan diri juara Liga Premier 2021, Negeri Sembilan FC (NSFC).
Ketua pasukan KDA FC Baddrol Bakhtiar berkata pasukannya hanya akan berasa selesa jika berjaya mencatat kemenangan berganda pada aksi bertemu Kelantan United FC 6 Nov ini dan membalas dendam kekalahan ketika menentang Melaka United FC pada saingan terakhir kumpulan 9 Nov ini.
Baddrol berkata kekalahan 1-3 kepada Melaka United FC bulan lepas membuktikan apa sahaja boleh berlaku jika pasukan mengambil mudah baki dua perlawanan terakhir itu selain menyifatkan enam mata percuma diraih susulan penarikan diri NSFC juga tidak memberikan sebarang jaminan.
“Memanglah enam mata yang diberikan itu satu bonus sebab kami memang perlukan kemenangan ini selepas kalah kepada Melaka tempoh hari dan kali ini dengan penarikan diri Negeri Sembilan memberi sedikit kelegaan kepada pasukan.
“Cuma ia tetap tidak akan menjamin apa-apa kerana masih ada dua perlawanan yang kena fokus dan kami pula ada masa yang panjang sebelum bertemu Kelantan United, momentum mesti lari sedikit dan kena sentiasa tingkatkan prestasi dalam latihan," katanya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.
KDA FC dijadual bertemu NSFC pada Jumaat ini dan Selasa depan, namun diberikan kemenangan percuma 3-0 dalam kedua-dua aksi itu selepas skuad bimbingan K. Devan menarik diri daripada saingan Piala Malaysia susulan 20 pemain serta empat pegawai pasukan disahkan positif COVID-19, Jumaat lepas.
Selepas dua perlawanan kumpulan, KDA FC mengumpul tiga mata di kedudukan kedua di belakang Melaka United FC yang cemerlang memulakan kempen dengan merakam dua kemenangan berturut-turut sementara Kelantan United tercorot tanpa sebarang mata.
Sementara itu, Baddrol berkata momentum pasukan bertambah baik dalam tiga siri perlawanan persahabatan yang dilalui selain membantu pemain mengekalkan tahap kecergasan sejak Piala Malaysia berehat awal bulan ini, menjelang dua aksi kumpulan bulan depan.
Pada siri persahabatan itu, KDA FC seri 0-0 dengan Skuad Projek FAM-MSN pada 15 Okt, tewas 0-2 kepada skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan (18 Okt) dan terikat 2-2 menentang Perak FC (20 Okt).
"Saya boleh katakan kami semua sudah dapat rasa suasana perlawanan sebenar selepas menentang beberapa pasukan dalam siri persahabatan dan saya harap kami semua dapat mengekalkan momentum ini dan akan memberikan persembahan baik dalam dua perlawanan penting pada bulan hadapan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial