DUNIA

ASEAN perlu benarkan "safe travel" untuk pulih ekonomi - Prayuth

26/10/2021 10:53 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 26 Okt --  ASEAN perlu membuka kembali sempadan dan membenarkan “safe travel” untuk memulihkan ekonomi rantau ini yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha.

Sebagai contoh, beliau berkata Thailand telah memperkenalkan projek perintis ‘Phuket Sandbox’ untuk menyambut kedatangan pelancong asing secara bertahap dan akan membuka lebih banyak kawasan di wilayah lain untuk pelancong antarabangsa.

“Rangka Kerja Pengaturan Koridor Perjalanan ASEAN harus diguna pakai, dengan pengiktirafan bersama vaksin dan sijil vaksin untuk memudahkan perjalanan perniagaan dan diikuti pelancongan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang kemuncak berkaitan melalui sidang video hari ini.

Prayuth berkata ASEAN harus mengelak mengambil langkah yang boleh menghalang pergerakan barangan untuk memastikan ketersambungan rantaian bekalan ketika pandemik dan menggunakan lebih banyak pasaran intra-ASEAN bagi merangsang ekonomi serantau.

Krisis COVID-19 menyebabkan rantau ini mudah terdedah kepada ancaman baharu yang di luar jangkaan, katanya.

Menurut Prayuth ASEAN harus mengukuhkan lagi kesiapsiagaan sebagai tindak balas terhadap penyakit baharu yang mungkin muncul dan memperkukuh keselamatan kesihatan awam untuk jangka panjang, termasuk melalui menggalakkan kerjasama dalam penyelidikan serta pembangunan vaksin.

“Pada masa ini, Thailand berada di landasan yang tepat dalam pembangunan vaksin COVID-19 dan negara bersedia bekerjasama dengan negara anggota ASEAN yang lain dalam hal ini,” katanya.

Prayuth menegaskan komitmen Thailand untuk bersama-sama memacu Komuniti ASEAN dan menjalin integrasi serantau yang lebih luas supaya ASEAN dapat terus berfungsi sebagai penggerak utama masyarakat dan ekonomi global.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan