AM

Banci Malaysia 2020 membanggakan dalam cabaran pandemik COVID-19 - Pesuruhjaya Banci

26/10/2021 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt -- Banci Malaysia 2020 yang akan ditutup pada Ahad ini (31 Okt) mencapai tahap membanggakan apabila rakyat Malaysia terus-menerus memberikan kerjasama meskipun negara berhadapan cabaran pandemik COVID-19 selama hampir dua tahun.

Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sehingga hari ini sebanyak 31.8 juta penduduk Malaysia atau 97.6 peratus daripada 32.6 juta jumlah anggaran penduduk 2020, sudah dibanci.

“Dengan Banci Malaysia 2020 berbaki lima hari lagi, penduduk yang dianggarkan masih belum dibanci adalah 0.8 juta atau 2.4 peratus,” katanya pada sesi pembentangan dan sidang media maya mengenai operasi banci yang disiarkan di akaun Facebook MyCencus2020 hari ini. 

Memasuki hari-hari terakhir banci menjelang Ahad ini, Mohd Uzir menyeru individu yang belum sertai pembancian agar menghubungi Jabatan Perangkaan secara dalam talian.

Beliau berkata penemuan utama data  Banci Malaysia 2020 akan diumumkan pada 1 Nov, sementara data berdasarkan tema atau sektor seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan akan diumumkan pada Jan 2022. 

Banci Malaysia 2020 yang dilancarkan pada Julai 2020 melalui beberapa fasa penjadualan dan penyesuaian semula tempoh operasi apabila banci bersemuka tidak dapat dijalankan berikutan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).

Menurut Mohd Uzir, Banci Malaysia 2020 telah dijadualkan sebanyak empat kali iaitu pada Julai 2020, Okt 2020, Jan 2021 dan Jun 2021. Sementara Banci secara dalam talian melalui e-Census serta sistem panggilan telefon atau Computer Assisted Telephone Interview (CATI) diteruskan.

Mengulas mengenai status terkini Banci Malaysia 2020, beliau berkata penduduk Malaysia merangkumi 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara. 

Nisbah jantina penduduk di Malaysia menunjukkan 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Penduduk lelaki mencatatkan 51.5 peratus, lebih tinggi berbanding peratusan penduduk perempuan yang mencatatkan 48.5 peratus, katanya.

Menurut Mohd Uzir, peratusan sambutan penduduk tertinggi dicatatkan di Samarahan (121.3), Muallim (116.8), Gombak (113.3), Sepang (113.1) dan Seremban (112.5).

Sementara peratusan penduduk telah dibanci terendah mengikut daerah di Semenanjung dicatatkan di daerah Lipis (71.5), Bera (76.6), Maran (77.3), Kuala Krai (77.5) dan Rompin (79.6).

Beliau berkata warga emas berumur 65 tahun dan ke atas yang tertinggi dicatatkan di Perlis iaitu 9.7 peratus. Sementara penduduk dalam umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun yang tertinggi dicatatkan di Kuala Lumpur (73.6 peratus).

Putrajaya  mencatatkan peratusan umur muda (0-14 tahun) tertinggi iaitu 36.5 peratus, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan