EKONOMI

Amal yakin kembali pulih seperti sebelum pandemik pada suku keempat 2022

26/10/2021 03:58 PM

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 26 Okt -- Amal by Malaysia Airlines, penyedia perkhidmatan penerbangan sewa khas untuk haji dan umrah yang pertama di dunia dijangka kembali pulih ke tahap seperti sebelum pandemik COVID-19 pada suku keempat 2022.

Ketua Pegawai Operasinya Muhammad Najmi Mansor berkata syarikat itu optimis dengan prospek pertumbuhan sektor perkhidmatan umrah berikutan permintaan yang tinggi selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan pembukaan semula sempadan mulai 1 Ogos kepada jemaah antarabangsa yang telah menerima vaksinasi lengkap COVID-19.

“Untuk musim umrah akan datang (1443 Hijrah) sehingga April tahun depan, kami menyasarkan penerbangan pertama pada 15 November dengan dua penerbangan sehari (melibatkan) tiga kapal terbang.

“Sewaktu Mei dan Jun yang menghampiri musim haji, kami akan mengurangkan jumlah penerbangan,” katanya kepada Bernama dan TV3 dalam satu temu bual khas baru-baru ini.

Muhammad Najmi berkata, berdasarkan momentum pertumbuhan yang dijangka berterusan sehingga suku keempat tahun depan, jumlah penerbangan akan ditingkatkan kepada tiga atau empat penerbangan sehari bagi laluan Kuala Lumpur-Jeddah dan Madinah.

Sebelum pandemik COVID-19, Amal beroperasi tiga kali sehari ke Jeddah dan Madinah dengan menggunakan pesawat A380-800 dan A330.

Penerbangan terakhirnya adalah pada 7 Mac 2020 bagi membawa pulang kumpulan jemaah terakhir selepas Arab Saudi menutup sempadannya pada 28 Feb.

Mengenai penyambungan semula operasi, Muhammad Najmi berkata Amal akan menggunakan pesawat A330 dari siri 300 dan 200 sepenuhnya selepas ini, seiring dengan perancangan syarikat induk Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) untuk menjual kesemua enam aset A380 yang dimiliki.

Beliau berkata Amal telah memulakan perbincangan dengan beberapa agensi pelancongan pada Ogos selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan pembukaan sempadan mereka pada akhir Julai.

“Amal berbincang dengan agensi pelancongan apa yang perlu dimulakan untuk sama-sama membantu mempercepatkan pemulihan sektor pelancongan umrah dan penerbangan serta mengelakkan banyak pihak daripada terus terjejas,” katanya sambil memaklumkan ia menawarkan harga tiket yang lebih rendah berbanding 2019.

Mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP), Muhammad Najmi berkata antara syarat asas yang perlu dipatuhi oleh jemaah umrah adalah berumur 18 tahun ke atas dan telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 keluaran Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson & Johnson.

Beliau berkata Amal dan Malaysia Airlines Bhd telah meningkatkan protokol kesihatan dan keselamatan di lapangan terbang dan pesawat untuk memastikan keselamatan pelanggan dan kakitangannya sentiasa dilindungi. 

Katanya syarikat itu turut mewajibkan penggunaan pelitup muka, kekerapan pembasmian kuman udara dan Penapis Udara Berkecekapan Tinggi (HEPA) pesawat yang dipertingkat dengan kemampuan penapisan yang lebih baik untuk memastikan kecekapan peredaran udara bagi menyaring sehingga 99.97 peratus virus dalam pesawat.

“Selain kit ameniti khusus untuk penumpang Amal yang mengandungi tasbih digital, kompas dan penyembur air wuduk, penumpang juga akan menerima kit kebersihan percuma yang disertakan pelitup muka, pembersih tangan dan tisu sanitari,” katanya.

Amal adalah anak syarikat milik penuh MAG yang ditubuhkan pada 2019. 

Syarikat itu menawarkan ciri-ciri unik dalam penerbangan berasaskan umrah dan haji seperti talbiah, doa musafir, laungan azan dan tazkirah serta pengumuman miqat bagi memastikan pengalaman ziarah dimulakan sebaik sahaja penumpang memasuki pesawat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan