PUTRAJAYA, 26 Okt -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini melancarkan Pelan Strategik Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia 2021–2025 yang menggariskan hala tuju strategik bagi tempoh lima tahun untuk meningkatkan kesejahteraan perkhidmatan awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata pelan itu mengandungi empat teras iaitu pemantapan tadbir urus dan kawal selia perkhidmatan; penyampaian perkhidmatan yang menyeluruh dan berkesan; pemerkasaan kesejahteraan modal insan perkhidmatan awam; dan pengukuhan nilai dan pembinaan budaya organisasi cemerlang.
“Bidang fokus dan teras strategik yang dirangka ini diharap dapat menyediakan organisasi dan penjawat awam yang sejahtera, produktif, berprestasi tinggi serta mempunyai sahsiah dan sikap yang positif khususnya dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya di majlis pelancaran pelan berkenaan.
Beliau yang melancarkan pelan itu ketika merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam ke-25 secara dalam talian bertemakan ‘Mengukuh Daya Tahan, Mendepani Ketidaktentuan’, turut mengingatkan semua penjawat awam untuk melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka sebelum 1 Nov ini.
“Ini bagi memberi keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat selari dengan operasi perkhidmatan kerajaan yang akan kembali beroperasi penuh mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
JPA dalam kenyataan 30 Sept lepas memaklumkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin COVID-19 dan dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi mereka sebelum 1 Nov 2021.
Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 mengenai Dasar Pelaksanaan Imunisasi COVID-19 Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang dikeluarkan pada 18 Okt lepas, pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang gagal melengkapkan imunisasi COVID-19 boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan apabila dasar baharu berhubung imunisasi melibatkan penjawat awam dilaksanakan mulai 1 Nov ini.
Bagi pegawai yang tidak dapat melengkapkan dos imunisasi COVID-19 atas faktor kesihatan, mereka boleh diarahkan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan pengamal perubatan berdaftar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial