EKONOMI

BURSA MALAYSIA KELUARKAN ARAHAN KEPADA SERBA DINAMIK

22/10/2021 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt -- Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia Securities) telah mengeluarkan arahan kepada Serba Dinamik Holdings Bhd berhubung status laporan Kajian Semula Khas Bebas (SIR) syarikat tersebut.

Bursa Malaysia Securities dalam satu kenyataan berkata arahan yang dikeluarkan hari ini adalah untuk Serba Dinamik membuat pengumuman mengenai penemuan daripada Kemaskini Penemuan Fakta pada 26 Oktober, 2021 dan membuat pengumuman mengenai arahan Bursa Securities itu dengan segera.

"Bursa Malaysia Securities mengambil maklum bahawa penemuan daripada Kemaskini Penemuan Fakta pada 30 September, 2021 mengenai SIR telah disampaikan kepada tiga daripada empat pengarah bebas bukan eksekutif pada 21 Oktober, 2021.

"Sehubungan itu, Bursa Malaysia Securities mendapati setakat ini, Serba Dinamik masih belum mengumumkan penemuan daripada Kemaskini Penemuan Fakta menurut Perenggan 9.03 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) Bursa Malaysia Securities Bhd,” katanya.

Bursa Malaysia Securities berkata arahan itu juga memerlukan penangguhan dagangan sekuriti Serba Dinamik pada sesi dagangan berikutnya selepas tarikh akhir arahan tersebut sekiranya tidak mematuhi arahan berkenaan.

Penangguhan itu akan kekal sehingga pengumuman dibuat Serba Dinamik mengikut arahan dan Perenggan 9.35A daripada MMLR mengenai penemuan daripada Kemaskini Penemuan Fakta.

"Arahan dikeluarkan ini adalah untuk memastikan maklumat penting dikeluarkan tepat pada waktunya dan bagi memberi penjelasan kepada pasaran," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan