AM

Sarawak promosi lebih banyak acara MICE – Abang Jo

22/10/2021 07:59 PM

KUCHING, 22 Okt -- Sarawak berhasrat mempromosi lebih banyak acara perniagaan (BE) atau mesyuarat perniagaan, insentif, persidangan, dan pameran (MICE) semasa ia membuka pintu sempadan kepada pengunjung luar secara beransur pasca pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak sentiasa mengutamakan acara seperti itu dalam promosi pelancongannya, dan komitmen ini dapat dilihat menerusi penubuhan Biro Konvensyen Sarawak dan pembinaan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

"Kita tidak menyasarkan persidangan besar-besaran.. mungkin persidangan sederhana yang menarik 300 hingga 400 peserta - sudah cukup bagus. Mungkin kita boleh wujudkan pakej yang akan membolehkan orang ramai dapat menikmati produk (pelancongan) kita, dan mereka boleh pergi ke taman negara kita sambil menghadiri acara perniagaan.

"Kita tahu mereka yang akan ke persidangan sebegini juga mempunyai masa tambahan, seperti di Kuching, mereka boleh pergi ke banyak tempat menarik seperti melayari sungai," katanya semasa sesi perbincangan khas di acara Meet in Malaysia@Sarawak di sini, hari ini.

Sementara itu Abang Johari berkata Sarawak juga sedang mengkaji cara untuk meningkatkan kesalinghubungannya dengan dunia luar.

“Saya sudah minta kementerian pelancongan negeri untuk melihat perkara ini. Sarawak berada di sebuah pulau (Pulau Borneo), tidak ada pilihan bagi pelancong untuk masuk ke sini melainkan menerusi penerbangan. Kesalinghubungan ini penting untuk membolehkan pelawat sampai ke sini tanpa sebarang masalah.

“Kita perku teroka (kemungkinan menambah) penerbangan terus dari hab pelancongan utama ke Kuching, semi untuk meningkatkan sektor pelancongan,” tambahnya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan